Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Bangkok hari ini untuk memulakan lawatan dua hari ke Thailand.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Bangkok hari ini untuk memulakan lawatan dua hari ke Thailand.

KULA LUMPUR – Kuasa rakyat akan hilang jika Yang di-Pertuan Agong (YDPA) diberikan kuasa mutlak untuk menolak sesuatu Rang Undang-Undang, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi tidak wajar untuk mengenepikan keputusan dan cadangan rakyat yang akhirnya dibentuk sebagai dasar mengikut kesesuaian selepas diluluskan di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Negara kita adalah negara demokrasi yang mana suara rakyat adalah yang menentukan segala-galanya namun demikian kita mengikut cara untuk memberi tempat kepada YDPA, supaya YDPA juga mengetahui tentang undang-undang yang diluluskan oleh rakyat dalam kedua-dua dewan.

“Kalau YDPA diberi kuasa mutlak untuk menolak undang-undang maka rakyat sudah hilang kuasa dan itu kita bukan demokrasi lagi tetapi raja yang berkuasa mutlak,” katanya pada sesi sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar (Santubong – PBB) adakah pindaan Perlembagaan Persekutuan sebelum ini apabila memperuntukan suatu Rang Undang-undang tidak diperkenankan YDPA selama 30 hari maka ia diluluskan.

Sebelum itu, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (Kuala Krau – BN) bertanyakan adakah kerajaan persekutuan akan meminda semula perkara itu agar insiden Akta Majlis Keselamatan Negara 2015 tidak berulang.

Sebaliknya Dr. Mahathir berkata, kerajaan hanya akan mengkaji jika wujud keperluan untuk membuat tafsiran mengenai Perlembagaan Persekutuan yang mengaitkan kuasa YDPA dalam Parlimen.

“Kerajaan akan mengkaji lebih lanjut perkara ini sekiranya terdapat keperluan untuk tafsiran mengenainya diperjelaskan lagi,” katanya.

Pada 26 Ogos 2016 Dr. Mahathir meminta maaf terhadap tindakannya meminda Perlembagaan Malaysia pada 1993 supaya perkenan raja-raja tidak lagi diperlukan dalam mewartakan sesebuah undang-undang yang diluluskan Parlimen. – MalaysiaGazette