ENGLAND – Legenda Manchester United, Edwin Van Der Sar antara nama yang disenarai pendek untuk dilantik pengarah bola sepak Manchester United yang baharu.
Bekas penjaga gol Belanda dan juga the Red Devils itu menyerlah dengan perkhidmatan cemerlang bersama kelab Ajax.
Pengetahuannya yang mendalam tentang pembangunan pasukan bola sepak diyakini akan memanfaatkan Old Trafford.
Van De Sar juga diyakini akan serasi dengan hirarki kelab yang serius untuk meneruskan legasi kegemilangan kelab itu.
Bagaimanapun, Naib Pengerusi Eksekutifnya, Ed Woodward pula memperincikan pencariannya untuk mengenalpasti calon yang berkelayakan tinggi yang bakal mengisi jawatan julung kali yang diwujudkan dalam sejarah 148 tahun kelab itu.
Jose Mourinho selaku pengurus pasukan khuatir dengan pengurusan tertinggi kelab selepas mengharungi jendela perpindahan musim panas yang mengecewakan sejak Julai lalu.
Manchester United sekadar merekrut Fred, Diogo Dalot dan penjaga gol sokongan Lee Grant dari Stoke City.
Kegagalan membawa masuk pemain pertahanan bek tengah ke Old Trafford menyakitkan Mourinho yang juga salah seorang ahli lembaga kelab yang dipertanggungjawabkan menstruktur semula hirarki kelab itu.
Manchester United juga dilaporkan sedang mempertimbangkan beberapa nama terkemuka yang lain dari Eropah untuk mengisi ‘kerusi panas’ itu.
Monchi dari kelab AS Roma dan Fabio Paratici dari Juventus mengungguli senarai teratas calon pengarah bola sepak di Theatre Of Dreams.
Paratici pula baru sahaja menandatangani kontrak baharu sebagai pengarah sukan di Juventus dan dilaporkan bersedia meninggalkan Serie A untuk menyertai kelab England itu sekiranya menerima tawaran kukuh dari Theatre of Dreams.
Bagaimanapun Manchester United serius untuk mendapatkan calon terbaik untuk mengembalikan kegemilangan pasukan sebagai digeruni di pentas antarabangsa dengan lebih banyak kejayaan di masa depan.- MalaysiaGazette