Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memandang serius mengenai dakwaan yang dibangkitkan oleh Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) berhubung pembayaran yang masih belum dibuat kepada kontraktor-kontraktor bagi projek-projek yang telah disiapkan.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kelewatan pembayaran ini sudah tentu akan menjejaskan aliran tunai atau cash flow syarikat kontraktor terlibat yang telah mengeluarkan belanja untuk menyiapkan projek-projek tersebut dan mungkin meminjam dari bank yang sudah pasti perlu dibayar balik.

“Bayaran tertunggak kepada kontraktor ini perlu diselesaikan secepat mungkin dalam masa dua minggu.

“Kelewatan pembayaran oleh kerajaan akan menjejaskan operasi syarikat kontraktor terlibat, dan menimbulkan risiko pemberhentian pekerja serta menjejaskan syarikat syarikat yang terlibat dalam rantaian perbekalan serta bank yang memberikan pinjaman,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

PKMM baru-baru ini mendesak kerajaan segera mengatasi masalah kelewatan pembayaran kepada para kontraktor berikutan perkara tersebut mengganggu kelancaran pelaksanaan dan siapnya sesuatu projek.

Kelewatan pembayaran itu akan menimbulkan masalah lain terutama kepada kontraktor kecil.

Mustapa berkata, sektor pembinaan menyumbang 4.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2017.

Walaupun angka ini kecil jika dibandingkan dengan sektor lain seperti pembuatan dan perkhidmatan, namun sumbangan sektor ini adalah besar memandangkan lebih 100 industri mempunyai kaitan dengan sektor ini termasuklah industri bukan binaan.

Jelasnya, kerajaan perlu memberikan penjelasan mengenai faktor-faktor yang mengakibatkan kelewatan pembayaran ini.

“Sekiranya kedudukan kewangan negara sekali lagi digunakan sebagai alasan, maka kerajaan perlu untuk sekurang-kurangnya memaklumkan kepada kontraktor terlibat bila pembayaran tersebut dapat diselesaikan.

“Krajaan perlu merangka strategi untuk menstabilkan dan mengukuhkan sektor pembinaan di negara kita, terutamanya dalam memastikan pertumbuhan syarikat-syarikat kecil dan sederhana yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette