Khairy Jamaluddin
Gambar penyerahan surat permohonan peletakan jawatan dan pembatalan tauliahnya sebagai komander Rejimen 508 Askar Wataniah yang dimuat naik oleh Khairy dilaman Twitternya.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakarhari ini menghantar surat perletakan jawatannya sebagai Komander Pasukan Simpanan Rejimen 508 Askar Wataniah .

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, surat perletakan jawatan telah diserahkan kepada Asisten Panglima Bahagian Pasukan Simpanan di Kementerian Pertahanan pagi tadi.

“Saya telah berjumpa Asisten panglima (Rejimen 508) dan menyerahkan peletakan jawatan sebagai komander Rejimen 508 Askar Wataniah dan untuk dibatalkan tauliah (Brigadier Jeneral) serta pangkat saya dalam tentera,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Menurut Khairy, beliau kini menunggu surat permohonannya meletakkan kesemua jawatan termasuk pentauliahan dalam askar wataniah itu diterima oleh pihak yang berkenaan.

Beliau menjelaskan kehadirannya dalam tentera tidak disenangi kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau ditanya sama ada keputusan mengejut itu disebabkan oleh kenyataan terbaharu Menteri Pertahanan Mohamad Sabu baru baru ini bahawa segala pentauliahan dan pemberian anuguerah dalam kementerian itu akan dikaji semula.

“Kehadiran saya dalam askar wataniah dan tentera darat Malaysia tidak lagi diundang.

“Lebih baik saya mengundur diri, namun saya tidak pasti bila agaknya pengurusan MINDEF akan membuat keputusan (permohonan letak segala jawatan dan pangkat),” tegas beliau.

Sementara itu di laman Twitternya, Khairy mengucapkan terima kasih kepada warga 508AW atas kerjasama selama hampir lima tahun sepanjang beliau menjadi Komander.

Khairy telah dinaikkan pangkat dalam pasukan itu sebelum ini daripada Kolonel ke Brigadier Jeneral berkuatkuasa 14 Januari 2015.

Ketika itu beliau menjadi menteri kabinet pertama yang memakai pangkat Brigadier Jeneral sebenar dalam Rejimen Askar Wataniah dan kekal menjadi Komander Rejimen 508 Askar Wataniah yang berpangkalan di Kem Rasah, Negeri Sembilan.

Beliau menyertai Askar Wataniah pada 20 Januari 2010 sebelum ditauliah sebagai Kolonel pada 28 Oktober 2013.

Bekas menteri belia dan sukan itu juga pernah mengikuti kursus asas perajurit muda selama sebulan pada 26 April 2010 di Rejimen 508 dan kursus asas payung terjun pada 13 Januari 2011 di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kem Sungai Udang di Melaka. – MalaysiaGazette