Pengarah Urusan Consent Malaysia, Amran Ahmad (kanan) bersama Pengarah Kajian Consent Malaysia, Mohamed Hata Wahari (dua kiri) menunjukkan isyarat tidak bagus sebagai tanda protes selepas gagal mengadakan pertemuan bersama Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bagi mendapatkan penjelasan mengenai kegagalan Pakatan Harapan melaksanakan 10 janji utama dalam masa 100 hari di Invoke Solution Sdn Bhd, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 16 OGOS 2018.
Pengarah Urusan Consent Malaysia, Amran Ahmad (kanan) bersama Pengarah Kajian Consent Malaysia, Mohamed Hata Wahari (dua kiri) menunjukkan isyarat tidak bagus sebagai tanda protes selepas gagal mengadakan pertemuan bersama Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bagi mendapatkan penjelasan mengenai kegagalan Pakatan Harapan melaksanakan 10 janji utama dalam masa 100 hari di Invoke Solution Sdn Bhd, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 16 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Consent Malaysia akan memburu tiga pemimpin utama kerajaan Pakatan Harapan berhubung janji manifesto 100 hari bagi mendapatkan penjelasan berhubung kegagalan menunaikannya.

Pengarah Kajian badan bukan kerajaan itu, Mohamed Hata Wahari berkata, pemimpin-pemimpin berkenaan bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat tentang kegagalan menunaikan janji 100 hari menerusi Program Bina Semula Negara pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Kita akan memburu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifudin Nasution Ismail, Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Ini adalah program berterusan yang mana Consent Malaysia akan terus mendekati dan memberi penekanan kepada setiap pemimpin Pakatan Harapan yang bertanggungjawab menjelaskan sebab kenapa janji 100 hari gagal ditunaikan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Malah kata Mohamed Hata, pihaknya akan menyerbu beberapa pemimpin lain dalam Pakatan Harapan selain tiga menteri berkenaan untuk mengetahui apa yang telah berlaku dengan janji mereka itu.

MGF16082018_PC CONSENT MALAYSIA02
Pengarah Kajian Consent Malaysia, Mohamed Hata Wahari bercakap kepada media selepas gagal mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk mendapatkan penjelasan kegagalan Pakatan Harapan laksanakan 10 janji utama dalam 100 hari di Invoke Solution Sdn Bhd, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 16 OGOS 2018.

Terdahulu beliau bersama Pengarah Urusan Consent Malaysia, Amran Ahmad yang juga ahli seumur hidup DAP hadir ke Invoke Solution Sdn. Bhd., untuk menemui Pengasasnya, Rafizi Ramli untuk merungkai permasalahan dan persoalan mengenai manifesto Pakatan Harapan yang pernah dipromosikannya semasa kempen Bina Semula Negara.

Ujar Mohamed Hata, dalam makluman yang dihantar kepada Rafizi sebelum ini untuk mengadakan pertemuan itu bertujuan mendengar dari mulut Naib Presiden PKR itu sendiri mengenai apa sebenarnya berlaku di sebalik manifesto yang gagal ditunaikan PH selepas berjaya merampas Putrajaya.

“Penjelasan saudara Rafizi bukan sahaja dapat melegakan minda rakyat yang sedang menagih janji mereka sebelum PRU14 malah boleh membaiki imejnya pada PRU15.

“Untuk pengetahuan saudara (Rafizi) kami bukannya dari pihak lawan UMNO atau BN tetapi ahli ahli komponen PH yang turut merasa tertipu dan tidak mampu menjawab orang ramai di luar sana mengenai kegagalan janji 100 hari ini,” katanya.

Bagaimanapun hasrat bertemu Rafizi tidak kesampaian apabila bekas Ahli Parlimen Pandan itu tidak berada di pejabat beliau dan cubaan panggilan menerusi telefon juga tak dijawab.

Ditanya mengapa beliau tidak terus berjumpa pemimpin dan wakil rakyat Pakatan Harapan untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu, Mohamed Hata mendakwa, Rafizi merupakan pemimpin yang bertanggungjawab melontarkan paling banyak janji kepada rakyat bagi memujuk mereka untuk mengundi Pakatan Harapan dalam usaha bina semula negara semasa kempen PRU14.

“Kami kecewa sebab surat memaklumkan hasrat pertemuan kami dengannya dipanjangkan semalam menerusi khidmat aplikasi WhatsApp dan juga e-mel.

“Apa yang mengecewakan kami, beliau langsung tidak membalas menyatakan kesediaannya berjumpa kami, sebaliknya mengambil pendirian mendiamkan diri sehingga sekarang.

“Saya ada bukti penghantaran surat itu menerusi WhatsApp kepadanya dan beliau telah membaca surat itu,” dakwanya lagi.

Malah katanya,pihaknya telah membuat kajian mengenai kelangsungan hidup rakyat Malaysia serta kesengsaraan yang dihadapi mereka.

“Kajian ilmiah turut dilakukan oleh salah seorang daripada kami yang turun padang berjumpa rakyat bersemuka bukan menerusi panggilan telefon,” ujar beliau.

Justeru katanya, Consent Malaysia tidak mempunyai kepentingan politik atau kewangan dan ia ditubuhkan tiga minggu lalu.

“Kalau ada macai Pakatan Harapan atau rakyat khuatir kami mungkin disokong dana mana mana parti termasuk BN, kami tidak perlu datang ke sini.

“Lagipun kami tidak mempunyai sebarang akaun simpanan bank, oloeh itu tidak timbul soalan kami mungkin telah disogok dana parti politik” tegas beliau .- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast