KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan Kelantan tidak menerima sebarang khabar berhubung pertukaran serta merta pegawai perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu, Dr. Nur Ilyani Mohamed Zawawi ke Putrajaya.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zaini Hussin berkata, setelah berita mendakwa Nur Ilyani ditukar, beliau telah membuat semakan rekod dan mendapati laporan itu tidak benar sama sekali.
“Merujuk kepada kenyataan yang tular di media sosial oleh individu bernama Azman Hashim di laman Facebook beliau, adalah dimaklumkan bahawa kenyataan mengenai pertukaran Dr Nur Ilyani ke Putrajaya adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam kenyataan balas kepada media hari ini.
Semalam, seorang netizen (Azman Hashim) memuat naik status kononnya berita yang baru diterimanya, mendakwa Dr Nur Ilyani telah dipindahkan dalam tempoh 24 jam ke JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) Putrajaya.
Dalam statusnya juga beliau menambah, pertukaran itu menyebabkan pegawai perubatan berkenaan, yang pernah menulis surat terbuka mengenai isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) kepada anak Perdana Menteri, Marina Mahathir baru-baru ini, kemungkinan akan ‘dipetisejukkan’.
“(Dr Nur Ilyani) perlu lapor diri jam 2 petang hari ini di Putrajaya yang jaraknya (dari Kota Bharu, Kelantan) 450 kilometer. Bukankah itu zalim?” tulis beliau.
Bagaimanapun, Azman didapati telah memadamkan statusnya itu, sebaik sahaja Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad mengeluarkan kenyataan menafikan pegawai perubatan itu disekat bertugas di HRPZII, Kota Bharu dan dipindahkan ke JPA, Putrajaya.
“Tak benar dan Kementerian Kesihatan akan keluarkan kenyataan,” jawab Dzulkifley pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Sementara itu, Malaysia Gazette mendapati Azman telah memadam status dari akaun Facebooknya, tetapi mendapat kecaman daripada netizen yang rata-rata meninggalkan komen menuduh beliau seorang pembohong dan penyebar fitnah.
Seorang netizen bernama Zulfadhli A’dil meninggalkan komen bertanyakan status kisah doktor (Dr Nur Ilyani) yang dipaparkan semalam, dan kenapa ia dipadamkan.
“Woi, mana status kisah doktor tadi? Dah dekete ka? Bukan main gigih share berita baru diterima..” katanya. – MalaysiaGazette