Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

PETALING JAYA – Pas akan membawa isu Janji 100 Hari yang tidak ditepati dalam manifesto Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia pada 8 September ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sejauh mana isu itu akan memberi kemenangan kepada Pas hanya akan ditentukan pada hari pengundian nanti.

Beliau juga yakin pengundi di Seri Setia akan keluar beramai-ramai untuk mengundi kerana senarionya akan berbeza dengan PRK Sungai Kandis baru-baru ini.

“Janji 100 hari Kerajaan PH yang tidak tunai janji turunkan harga minyak dan tol kerana mereka berkata manisfesto bukan kitab suci.

“Tapi kitab suci menyatakan janji wajib ditepati. Jadi rakyat perlu buat perhitungan dalam PRK pada 8 September ini untuk pilih wakil rakyat yang mampu perjuang dan sampai mesej kuat walaupun kita tidak boleh tubuh kerajaan.

“Namun kita boleh menjadi pembangkang yang kuat dan memberi nasihat kepada kerajaan dengan berani dan tegas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman calon Pas pada PKR Seri Setia di sini malam ini.

Dr Halimah Ali yang merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimah Pas dipilih menjadi calon parti.

Ditanya kesediaan UMNO untuk turun berkempen untuk calon Pas, Abdul Hadi mengalu-alukan pertolongan semua pihak bukan sahaja UMNO malah ahli-ahli PH sama ada PKR, DAP, Parti Amanah Negara atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika ada yang sudah berubah pendirian.

Malah beliau juga terbuka sekiranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ingin hadir turun berkempen buat Pas sepanjang tempoh berkempen nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast