Mohamed Khaled Nordin
Mohamad Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Pengambilalihan Syarikat Air Johor (SAJ)-Ranhill dilihat jalan keluar terbaik menyelesaikan masalah air di Johor.

Sebelum itu, tarif air Johor adalah yang termahal di negara ini dan paling kerap berlaku gangguan.

Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan kerajaan negeri sekarang yang mencadangkan penubuhan syarikat air sendiri yang baharu dilihat bukan penyelesaian terbaik.

“Akan tetapi, cadangan menubuhkan syarikat air baharu adalah tidak praktikal dan tidak bernas. Pertama, apabila menubuhkan syarikat air yang baharu, ini bermakna kita harus bermula dari sifar. Tidak ada aset, tidak ada kelengkapan, tidak ada prasarana, tidak ada pekerja, tidak ada sumber yang mencukupi.

“Bukan semua ini akan menimbulkan kesukaran. Malah, ia akan memakan masa yang sangat lama untuk dijayakan. Lebih-lebih lagi dalam memastikan proses ini dijalankan dengan lancar tanpa memberi gangguan kepada perkhidmatan air di Johor,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Khaled merujuk kepada tindakan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang mahu penubuhan syarikat air baharu bagi mengatasi masalah bekalan di negeri itu.

Kedua, menurut Mohamed Khaled, jika sekarang ini saham SAJ-Ranhill sedang murah dan jatuh, bukankah ini masa terbaik untuk membelinya kerana harganya lebih murah.

“Ketiga, sudah tentulah secara umumnya pembelian dan pengambilalihan
SAJ-Ranhill memerlukan kemahuan dan persetujuan dari mereka tetapi, adakah Menteri Besar sudah berunding dengan mereka?

“Adakah mereka sudah menolak idea ini dan menyatakan pendirian tegas bahawa mereka tidak akan menjual saham mereka biar apa sekalipun hasrat, tawaran dan alasan kerajaan negeri?” soalnya yang juga Naib Presiden UMNO itu lagi.

Atau, kata Mohamed Khaled, adakah awal-awal lagi Menteri Besar Johor sudah mengaku kalah dan membuat andaian bahawa SAJ-Ranhill enggan bekerjasama dan tidak akan
melayan sebarang rundingan dengan kerajaan negeri.

“Sekali pun benar SAJ-Ranhill tidak mahu dan berkeras untuk tidak menjual saham mereka, bukankah ini seharusnya menjadi cabaran dan ikhtiar seorang Menteri Besar?

“Beliau (Osman) tidak seharusnya mengemukakan alasan bahawa ia sukar, ia tidak akan berjalan lancar dan ia tidak akan boleh dilakukan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast