Suasana di hadapan wad kecemasan di mana pelatih Pusat Latihan Polis (PULAPOL) dirawat akibat diserang strok haba di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 17 OGOS 2018.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan berwaspada dengan tanda-tanda awal strok haba berikutan cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara tanda awal strok haba ialah kepala berdenyut, mual, kurang berpeluh walaupun dalam suhu panas dan denyutan nadi yang pantas.

“Tanda-tanda lain ialah otot lemah dan kejang, muntah, kulit kering dan kemerahan, sawan serta pitam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini yang dikongsi menerusi akaun Facebooknya.

Strok haba terjadi apabila paras suhu badan meningkat melebihi 40.5 darjah celcius berbanding suhu normal badan manusia kira-kira 37 darjah celcius.

Keadaan ini boleh menyebabkan komplikasi sistem saraf otak yang mengakibatkan seseorang itu sawan, koma dan boleh menybabkan kematian.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham menyarankan orang ramai mengelakkan aktiviti riadah yang terdedah kepada cuaca panas serta minum banyak air.

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini melaporkan negara sedang mengalami musim Monsun Barat Daya yang antara lain turut menyebabkan suhu menjadi lebih panas daripada kebiasaan.

Cuaca panas yang melanda di kebanyakan kawasan negara dijangka berlarutan sehingga hujung minggu ini, namun siri cuaca panas masih boleh berlaku sehingga monsun itu berakhir pada hujung September ini.

— BERNAMA