Calon PH N.27 Balakong, Wong Siew Ki (tengah) menunjukkan tanda bagus semasa proses penyerahan borang percalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Balakong di Dewan Utama Demesne, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Bangi, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 18 OGOS 2018.
Calon PH N.27 Balakong, Wong Siew Ki (tengah) menunjukkan tanda bagus semasa proses penyerahan borang percalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Balakong di Dewan Utama Demesne, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Bangi, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 18 OGOS 2018.

BANGI – Wong Siew Ki berharap kasut baharu yang dibeli khas untuk Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong tahan lasak hingga ke hari mengundi pada 8 September ini.

Kata calon Pakatan Harapan berusia 32 tahun, kasut itu dibeli khusus untuk digunakan sepanjang berkempen selama 21 hari.

“Kali ini saya lega (kerana) telah menyerahkan borang pencalonan tanpa sebarang masalah. Nanti lepas proses semakan kelak kalau tiada masalah, saya akan memulakan kempen mendekati pengundi.

“Saya sudah beli kasut baharu semalam, harap boleh bertahan selama 21 hari berkempen.

“Tempoh berkempen agak lama, maka saya akan menggunakan peluang ini secara efisien dan akan menemui pengundi seramai yang mungkin mengetengahkan agenda pembangunan rakyat setempat dan negara,” katanya sambil tersenyum ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon PRK DUN Balakong di Dewan Demesne, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi pagi hari ini.

Siew Ki diiringi Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau tiba dengan pencadang dan penyokong dan memasuki dewan lalu menyerahkan borang pencalonan selepas proses penamaan calon dibuka pukul 9 pagi ini.

Ditanya tindakan MCA menggunakan bendera parti dan bukannya bendera Barisan Nasional, Siew Ki berkata, dia tidak melihat tindakan tersebut sebagai kekangan kepadanya.

Ujarnya, dia merasakan kedua-dua pihak menerima kesan sebab pertama kali menggunakan logo parti sendiri.

“MCA pakai bendera sendiri dan juga Pakatan Harapan akhirnya berjaya menggunakan logonya sendiri, ini agak melegakan. Satu permulaan baik untuk kami berdua,” katanya.

Ditanya mengenai peluang mengekalkan majoriti yang diperolehi bekas ADUN Balakong pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Siew Ki berkata, ia agak sukar untuk meramalnya.

“Peluang nak kekalkan majoriti, kita kena tengok peratusan keluar mengundi. PRK dan PRU lepas tak sampai 50 peratus pengundi yang keluar mengundi.

“”Saya tak jangkakan boleh capai undi tertinggi begitu, tetapi akan cuba yang terbaik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette