Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bercakap kepada media pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Balakong di Dewan Utama Demesne Pejabat Daerah Tanah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 18 OGOS 2018
Lim Guan Eng. foto AFFAN FAUZI

BANGI – MCA disifatkan sebagai parti serpihan yang cuba memencilkan diri kerana menggunakan logo sendiri dalam perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong.

Malah, parti berkenaan seolah-olah mahu memecah-belahkan perpaduan kaum berbanding Pakatan Harapan (PH) yang memayungi semua kaum secara adil dan saksama, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Beliau mendakwa, berdasarkan perkembangan semasa blok pembangkang dilihat lebih gemar memencilkan diri serta sering mengutamakan suatu kaum sahaja.

“Tidak seperti PH yang mewakil rakyat Malaysia dan terdiri daripada pelbagai kaum serta kami melaksanakan amanah yang diberikan untuk kesejahteraan semua.

“Terserahlah kepada rakyat sama ada ingin memilih parti yang mewakili seluruh rakyat Malaysia atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, sebentar tadi.

Beliau mengiringi Naib Ketua Wanita DAP Bahagian Serdang, Wong Siew Ki yang bertanding sebagai calon PH bagi Pilihan Raya Kecil DUN berkenaan yang akan berlangsung pada 8 September ini.

Dalam pada itu, Guan Eng menegaskan penggunaan logo PH buat pertama kalinya dalam pilihan raya membuktikan kerjasama antara parti gabungan amat kukuh.

“Saya buat kenyataan bukan mewakili DAP, tetapi mewakili semua parti yang bernaung di bawah PH.

“Kita akan berusaha untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan rakyat.

“Kita tidak boleh yakin sangat kita akan menang, sebaliknya seluruh jentera perlu berusaha bersungguh-sungguh sehingga kemenangan berpihak kepada PH,” ujarnya. – MalaysiaGazette