BANGI – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan antara 75 hingga 80 peratusan pengundi akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Balakong pada 8 September ini.
Setiausahanya, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, itu sasaran yang ditetapkan oleh pihaknya kali ini.
“SPR berharap PRK N27 Balakong berjalan dengan sempurna dan menyeru pengundi keluar beramai-ramai menjalankan tanggungjawab masing-masing.
“SPR berharap pengundi tidak mensia-siakan hak mereka mengundi kali ini.
“Pengamal media juga diharap memainkan peranan supaya menggalakkan orang ramai keluar beramai-ramai mengundi pada 8 September ini,” katanya pada sidang media selepas pengumuman calon bertanding pada PRK DUN Balakong.
PRK kali ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu melibatkan calon MCA, Tan Chee Tiong dan calon Pakatan Harapan Wong Siew Ki.
Beliau mengingatkan calon serta parti bertanding supaya tidak merayu undi menggunakan medium atau platform Facebook, Whatsapp, Twitter dan sebagainya selepas tempoh berkempen selama 21 hari berakhir pada 11.59 malam 7 September ini.
Justeru katanya, SPR bagi tujuan itu telah menubuhkan pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) bagi memantau segala aktiviti kempen, pemasangan dan pengedaran poster atau apa jua bentuk iklan supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“PPKPR boleh menurunkan mana-mana bahan kempen berunsur negatif atau boleh melanggar undang-undang atau akta Pilihan Raya yang ditetapkan.
“Dalam pada itu SPR juga telah melantik 63 pemerhati melibatkan tujuh agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan untuk memantau PRK antaranya Persatuan Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral, Dewan Perhimpunan Cina KL dan Selangor, Bersih 2.0, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Kelab Pemikir Politik Nasional,” Tegasnya. – MalaysiaGazette