Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Brig Jen (B) Mohamed Arshad Raji.
Mohamed Arshad Raji

KUALA LUMPUR – Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) mendesak siasatan menyeluruh berhubung pendedahan perjanjian berat sebelah di antara kerajaan terdahulu dan dua syarikat konsesi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Presidennya, Datuk Mohd. Arshad Raji berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia perlu segera bertindak tanpa perlu menunggu laporan dibuat.

Jelasnya, Patriot menuntut untuk mengetahui siapakah pemilik korporat dua konsesi AES, iaitu ATES dan Beta Tegap.

“Kenapakah Pengarah Urusan dan Lembaga Pengarah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) membenarkan RM555 juta diambil dari dana mereka?

“Apabila dana LTAT digunakan sedemikian rupa, ia merupakan pecah amanah. Walaupun Pengarah Urusan dan Lembaga Pengrah menerima arahan daripada ketua kerajaan, kelakuan sedemikian adalah tidak terhormat, tidak dapat diterima dan satu pengkhianatan amanah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke membuat pendedahan mendakwa kerajaan Barisan Nasional telah membeli aset kedua-dua syarikat itu yang terdiri daripada 40 kamera AES dengan harga RM555 juta yang dibayar oleh LTAT.

LTAT ketika ini memiliki 59.4 peratus daripada Boustead Holdings Bhd. (Boustead)

Boustead memiliki 57.4 peratus daripada Boustead Plantation Bhd.,20.7 peratus daripada Affin Bank Bhd.,56.1 peratus daripada Pharmaniaga Bhd, 65 peratus daripada Boustead Heavy Industries Corp Bhd. dan beberapa buah syarikat lain.

Boustead telah diberikan kontrak untuk membekalkan empat Kapal Misi Pesisir (LMS) yang dilaporkan berharga RM1.17 bilion, satu isu yang dipersoalkan Patriot pada 28 Mei 2018.

Sehingga hari ini tiada sebarang perkembangan berhubung pemberian kontrak itu.

Dalam pada itu, Mohd. Arshad menambah, tujuan utama LTAT ditubuhkan adalah untuk menjaga kebajikan dan menguruskan manfaat persaraan untuk para anggota perkhidmatan.

Katanya, dalam struktur pemerintahan pasukan tentera, para pemimpin atau pemerintah tertinggi menjaga kebajikan dan melindungi keselamatan anggota-anggota mereka.

“Sebagai balasan, anggota bawahan akan memberi sokongan tidak berbelah bagi dan bahkan bersedia untuk mempertaruhkan nyawa mereka melaksanakan misi berbahaya.

“Oleh kerana LTAT berkait rapat dengan tentera dan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pertahanan, pemimpin korporat LTAT perlu mematuhi norma-norma institusi ketenteraan,” ujarnya.

Mohd. Arshad juga mendesak LTAT menggunakan kuasa dan pemilikan empayar perniagaannya yang luas untuk menjaga kesejahteraan anggota perkhidmatan dan veteran secara serius seperti menyediakan peluang pekerjaan, latihan sambil kerja bagi mereka sedang kursus peralihan dan pemberian biasiswa untuk anak-anak mereka .

Jelas beliau, kedai rangkaian Pernama perlu disusun semula dan skop perniagaan dikembangkan untuk memberi manfaat yang lebih baik.

“Mengembalikan lebih banyak keuntungan sebagai bonus kepada ahli dan LTAT bukan sahaja perlu melakukan apa yang dicadangkan, tetapi perlu dilihat sebagai melakukannya secara terus menerus oleh warga tentera.

“Ini adalah sekurang-kurangnya yang boleh dilakukan oleh LTAT,” katanya. – MalaysiaGazette