JAKARTA – Penduduk di Pulau Lombok dilaporkan bermalam di luar rumah, memenuhi kawasan lapang dan padang, berikutan masih berlakunya gempa susulan selepas gempa bermagnitud 7 Skala Richter menggoncang pulau itu malam tadi.

Dalam kejadian pada 9.56 malam itu, Lombok sekali lagi digegarkan gempa 7 Skala Richter, yang berpusat di kedalaman 10km, di 32km Timur Laut Lombok Timur.

Menurut data Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG), lebih 20 gempa susulan berterusan berlaku sejak semalam hingga setakat 6 pagi ini.

Kota Mataram, Lombok dan Nusa Tenggara Barat pula dilaporkan gelap-gelita berikutan terputusnya bekalan elektrik.

Menurut agensi berita Antara di Lombok, ketika gegaran berlaku, penduduk bertempiaran lari ke luar rumah, wanita dan kanak-kanak pula menangis ketakutan.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Sutopo Purwo Nugroho dalam kenyataan berkata, gempa itu turut dirasai hingga ke wilayah Nusa Tenggara Barat, wilayah Bali, Jember (Jawa Timur) dan Makassar (Sulawesi Selatan).

“Selain itu, berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan-kawasan bukit dan di Gunung Rinjani,” katanya.

Menurut data BMKG, lebih 600 gempa bumi berlaku di pulau Lombok sejak 5 Ogos.

Gempa bermagnitud 7 Skala Richter pada 5 Ogos lepas itu telah menyebabkan hampir seratus ribu rumah musnah, lebih 400 terkorban, manakala lebih seribu cedera.

Ketika operasi mencari mangsa yang dikhuatiri masih tertimbus dalam runtuhan akibat kejadian itu sedang dijalankan, pulau itu berterusan digegarkan dengan beratus gempa susulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast