Poad Md. Kassim (kiri) bersama anak didiknya, Khairul Hafiz Jantan.

KUALA LUMPUR – Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim menafikan dakwaan Ketua Kontinjen Sukan Asia yang beliau mengambil sikap lepas tangan terhadap jurulatih pecut negara, Poad Md. Kassim sehingga terpaksa mencari penajaan sendiri untuk ke Sukan Asia Jakarta-Palembang.

Karim yang kecewa dengan kenyataan Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi tampil menjelaskan mengikut sistem penggiliran, Poad sedia maklum bahawa namanya tersenarai ke Sukan Asia di Indonesia kerana jurulatih itu telah dihantar ke Sukan Komanwel sebelum ini dan hanya jurulatih, M. Balamurugan sahaja terpilih kali ini.

“Beliau (Abdul Azim) sepatutnya menghubungi saya meminta penjelasan bukan terus menunding jari begitu sahaja.

“Memang KOM membuat sistem penggiliran, jurulatih Poad sendiri sudah maklum perkara ini. Saya tahu beliau mendapat penajaan ke Sukan Asia, pihak KOM sedang menguruskan kad akreditasi harian beliau di sana. Permohonan kad akreditasi bukan mudah, saya sendiri tiada akreditasi itu,” katanya memetik laporan Bernama.

Portal tempatan mendakwa Abdul Azim bengang sebaik mendapat tahu Poad terpaksa meraih simpati daripada penajaan luar demi membolehkan penyertaannya itu di Jakarta.

Namun Poad sendiri memaklumkan bahawa beliau mencari penajaan sendiri kerana mahu memberikan sokongan moral kepada anak buahnya dan sudah sedia maklum dengan sistem penggiliran KOM itu.

Bagaimanapun Poad dikatakan masih belum mempunyai kad akreditasi, namun perkara itu bukan satu masalah apabila pihak KOM dikatakan akan berusaha untuk mendapatkannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast