Myvi

KUALA LUMPUR – Pengeluaran model Myvi baharu telah dihentikan buat sementara waktu berikutan gangguan bekalan di salah satu vendornya, mengakibatkan kira-kira 3,000 pelanggan tidak dapat mendaftarkan Perodua Myvi baharu mereka sebelum akhir bulan Ogos ini.

“Kami ingin memohon maaf kepada para pelanggan yang sabar menunggu kenderaan baru mereka,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin.

Katanya, Perodua bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isu ini dan sedang mengambil semua langkah yang diperlukan untuk memastikan pengeluaran bermula semula secepat mungkin.

Zahari berkata, keutamaan syarikat itu kini adalah untuk menyerahkan Perodua Myvi baharu kepada kira-kira 3,000 pelanggan yang dijadualkan menerima kenderaan mereka
sebelum 1 September.

“Kami amat memahami dan prihatin terhadap kekecewaan pelanggan kami yang terlibat. Oleh itu, kami sedang berusaha untuk memberikan pampasan yang sesuai dan akan menghubungi para pelanggan kami menerusi cawangan-cawangan di seluruh Malaysia tidak lama lagi,” ujar beliau.

Terdapat peningkatan dari segi permintaan terhadap kenderaan sejak kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) disifarkan sejak 1 Jun lalu.

Setakat ini, lebih daripada 68,000 Perodua Myvi telah diserahkan kepada pemiliknya daripada lebih 120,000 tempahan yang diterima sejak pelancarannya pada November 2017, menjadikan
ia produk terlaris Perodua dari segi jualan untuk sepanjang tahun setakat ini.

Bagaimanapun, penghantaran model bagi Axia, Bezza dan Alza masih terus berjalan seperti biasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast