KOTA KINABALU – Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata pihaknya akan menjalankan siasatan ke atas bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dalam masa terdekat berhubung laporan polis oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin kononnya wujud unsur ugutan jenayah dalam isu perlantikan ketua menteri pada 10 Mei lalu.
Ramli bagaimanapun berkata, pihaknya tidak dapat melaksanakan tugas siasatan itu serta-merta atas permintaan doktor pakar yang merawat Musa.
“Doktor yang merawatnya mohon sedikit waktu. Insya Allah dalam masa terdekat (kita akan menjalankan siasatan),” katanya kepada Bernama.
“(Tidak melaksanakan siasatan serta merta ini) Bukan keistimewaan (kepada Musa),” katanya.
Musa yang sebelum ini dilaporkan mendapat rawatan di London, pulang ke tanah air selepas tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, jam 6.45 petang semalam dari Seletar, Singapura.
Musa, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga, dilaporkan meninggalkan negara ini ke London pada 16 Mei untuk menjalani rawatan perubatan di London.
Beliau kini dikehendaki polis berhubung dakwaan ugutan jenayah terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah pada majlis angkat sumpah 10 Mei lepas.
Beliau turut disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dakwaan menyogok Anggota Dewan Undangan Negeri. – MalaysiaGazette