KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini disebabkan pembelian saat akhir saham berwajaran tinggi terpilih, terutama dalam perdagangan dan perkhidmatan, serta saham berkaitan kewangan, kata peniaga.
Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 12.76 mata lebih tinggi pada 1,810.87.
Indeks itu dibuka 3.49 mata lebih tinggi pada 1,801.60 dari penutupan 1,798.11 pada Selasa.
Bursa Malaysia dan anak-anak syarikatnya ditutup semalam untuk cuti perayaan Aidiladha.
Kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 485 berbanding 419 dengan 430 kaunter tidak berubah, 564 tidak diniagakan dan 43 yang lain digantung.
Jumlah dagangan bagaimanapun turun kepada 2.25 bilion unit bernilai RM2.46 bilion daripada 2.52 bilion unit bernilai RM2.43 bilion pada Selasa. – BERNAMA