DATUK SERI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Wan Rosdy Wan Ismail.

KUANTAN  – Kerajaan Negeri merayu kepada Kerajaan Pusat agar mempertimbangkan semula keputusan membatalkan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur  (ECRL) kerana ia akan menyebabkan ramai anak tempatan kehilangan peluang pekerjaan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pembatalan itu juga akan merugikan ketiga-tiga negeri – Pahang, Terengganu dan Kelantan, yang mana kerja-kerja awal pelaksanaannya telahpun bermula.

“Di Pahang sahaja, kemajuan yang dicapai ialah antara 13 dan 14 peratus setakat ini. Malah, di tapak-tapak seperti Genting dan Bentong, kerja-kerja mengorek terowong bagi laluan bawah tanah ECRL telahpun bermula.

“Selain itu, kerja-kerja untuk pengambilalihan tanah sudahpun berada di peringkat Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri dan ini termasuk bagi tanah milik persendirian yang perlu kemudian diwartakan untuk ditetapkan jumlah pampasan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini hari ini.

Menurut rekod, seluas 1,394.4 hektar tanah melibatkan 1,545 lot tanah menerusi jajaran sepanjang 232.5 kilometer merentasi daerah Bentong, Temerloh, Bera, Maran dan Kuantan akan terlibat dengan projek ECRL.

Sementara itu, kerajaan Kelantan memohon kerajaan Persekutuan agar  tidak tergesa-gesa untuk membatalkan projek ECRL.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata ini bagi mengelakkan kerajaan persekutuan membayar pampasan yang jauh lebih tinggi berbanding kos projek jika ECRL dibatalkan.

“Kalau boleh semak baliklah, jangan tergesa-gesa… mungkin walaupun ada positif dan negatif dalam hal ini, pada pandangan kita aspek positif lebih banyak sebab itu kita dari awal lagi menyokong ECRL ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ibadat Qurban Jama’ie Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan di Padang Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Kelantan sini hari ini.- BERNAMA