PAS dan UMNO kata, politik tanah air telah mencatatkan sejarah apabila kedua-dua parti itu bekerjasama dalam blok pembangkang baru melawan Pakatan Harapan (PH).

Kerjasama itu, yang pada dasarnya lebih kepada ikatan atas kertas, dimeterai secara rasmi pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, 18 Ogos lalu.

Secara pandangan mata kasar, memang wujud kerjasama antara kedua-dua parti Melayu itu, dengan kehadiran beberapa pemimpin kanan Pas dan pemimpin kanan UMNO.

Mereka berpegangan tangan mengiringi calon Pas, Dr Halimah Ali pada hari itu, tetapi sejauhmana pula ikatan itu diterima oleh pemimpin dan ahli kedua-dua parti di peringkat akar umbi?

Persoalan juga timbul, kenapa Pas tidak menampakkan kesungguhannya dengan ‘kerjasama’ itu pada PRK DUN Sungai Kandis 4 Ogos lalu, ketika calon Barisan Nasional (BN) dari UMNO melawan calon PH dari PKR?

Tidak nampak pun pemimpin kanan Pas turun membantu Datuk Lokman Noor Adam berkempen melawan Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Kenapa apabila tiba giliran Pas bertanding di Seri Setia, mereka tiba-tiba menguar-uarkan bekerjasama dengan UMNO dan jelas nampak kehadiran Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan?

Di mana Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden Pas, Idris Ahmad; dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan pada hari penamaan calon PRK DUN Sungai Kandis?

Siapa yang kemaruk hendak bekerjasama? Pas atau UMNO?

Kalau lihat pada senario PRK yang sudah selesai (DUN Sungai Kandis) dan yang akan berlangsung (DUN Seri Setia dan DUN Balakong), yang nampak kemaruk nak bekerjasama ialah UMNO.

Selepas kalah teruk dalam PRU14, nampak sangat UMNO dan BN terhegeh-hegeh mahu mencari rakan politik untuk bergabung, termasuk menerima Pas yang pernah mengguris dan melukakan parti itu sebelum ini.

Pas pula, walaupun tidak banyak kehilangan kerusi Parlimen, malah berjaya mengalahkan UMNO, BN di Terengganu, hanya lebih mementingkan diri sendiri sahaja. Untuk bergabung dengan UMNO, BN tidak sama sekali, tetapi sekadar bekerjasama, boleh.

Ini yang dikatakan pelik dan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO, BN di akar umbi. Kenapa kerjasama boleh, bergabung tidak boleh?

Apa bezanya bergabung dengan bekerjasama? Apa salahnya kalau mereka terus saja isytihar bergabung, bukan mengelirukan ahli dan rakyat dengan bekerjasama?

Di sini, nampak jelas ketidakikhlasan Pas. Mereka hanya sekadar mahu bekerjasama, bukan bergabung. Sedangkan UMNO, BN pula bekerjasama boleh, bergabung pun boleh.

Untuk makluman dan pengetahuan umum, kerjasama Pas dengan UMNO, BN bukan suatu yang pelik. Kedua-dua parti itu pernah bergabung pada tahun 1972 dan bercerai enam tahun kemudian pada tahun 1978.

UMNO yang dianggap parti tertua dalam politik Malaysia terpaksa akur dengan keputusan Pas untuk keluar dari gabungan BN dan sejak itu juga Pas yang menjadi janda BN meneruskan kehidupannya ‘berkahwin’ dengan DAP dan PKR.

Namun, Pas tidak lama dengan DAP, apabila mengisytiharkan berpisah dengan DAP pada Jun 2015 dan mengakhiri hubungannya dengan PKR secara rasmi pada PRU14.

Hari ini, selepas 40 tahun menjanda, Pas mahu kembali bersama UMNO dengan cara kerjasama, bukan bergabung. Ia sama seperti bertunang, tapi bukan berkahwin.

Orang tua-tua kata, ‘gila talak’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast