Indeks kumpulan makanan meningkat di Wilayah Persekutuan.

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Julai 2018 meningkat 0.9 peratus kepada 119.8 berbanding 118.7 pada bulan yang sama tahun lepas.

Kenaikan indeks keseluruhan disebabkan oleh kenaikan harga bagi kumpulan pengangkutan (+6.7 peratus), perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (+2.0 peratus), pendidikan (+1.0 peratus), restoran & hotel (+1.0 peratus) dan makanan & minuman bukan alkohol (+0.7 peratus).

Perbandingan bulan ke bulan, IHP meningkat 0.2 peratus berbanding bulan Jun 2018, menurut Jabatan Perangkaan.

IHP bagi tempoh Januari-Julai 2018 mencatatkan kenaikan sebanyak 1.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Secara keseluruhannya, indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus kepada wajaran IHP, meningkat 0.7 peratus pada Julai 2018 yang disumbangkan oleh sub kumpulan makanan ikan & makanan laut (+2.4 peratus).

Manakala, indeks bagi sub kumpulan daging menurun 1.8 peratus pada Julai 2018 berbanding Julai 2017, diikuti oleh sub kumpulan gula, jem, madu, coklat & manisan (-1.0 peratus), sayur-sayuran (-0.9 peratus), susu & telur (-0.9 peratus) dan minyak & lemak (-0.4 peratus).

Penurunan ini adalah disebabkan oleh indeks barangan yang menunjukkan penurunan di kebanyakan negeri seperti tomato (-8.5 peratus), terung (-8.0 peratus), susu segar (-4.5 peratus), tembikai (-3.0 peratus), kobis bulat (-2.5 peratus), ayam (-2.2 peratus) dan minyak masak (-0.8 peratus).

Sementara itu, indeks makanan di luar rumah meningkat 2.0 peratus pada Julai 2018.

Secara keseluruhan, empat negeri melepasi paras IHP nasional 0.9 peratus yang dicatatkan pada Julai 2018 berbanding Julai 2017 iaitu Negeri Sembilan (+1.3 peratus), Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (+1.2 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+1.1 peratus) dan Johor (+1.0 peratus).

Sementara itu, kenaikan indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol yang lebih tinggi dicatatkan di kebanyakan negeri di Malaysia.

Dua negeri mencatatkan kenaikan yang lebih tinggi bagi indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol melebihi paras indeks nasional (+0.7 peratus) bagi Julai 2018 berbanding bulan yang sama tahun 2017.

Indeks bagi kumpulan makanan & minuman bukan alkohol naik 3.5 peratus di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan 0.9 peratus di Sarawak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast