Tan Sri Lee Lam Thye
Lee Lam Thye

KUALA LUMPUR – Kerajaan harus mewajibkan pihak berkuasa tempatan (PBT) meletakkan peranti pengapungan peribadi (PFD) di lokasi berisiko tinggi dan di atas bot pelancong untuk digunakan pada waktu kecemasan.

Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, PFD tidak semestinya mahal dan negara-negara tertentu telahpun menggunakannya yang didapati berkesan, murah dan tidak mudah dirosakkan oleh pemusnah laku.

“Ia juga boleh dibuat dengan mengitar semula bekas air plastik terbuang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kajian yang dijalankan Pusat Penyelidikan Klinikal Perak menunjukkan kira-kira 500 kanak-kanak lemas setiap tahun dan ia merupakan penyebab kematian kedua tertinggi dalam kalangan mereka yang berumur di bawah 18 tahun.

Secara purata, lebih kurang 700 kes lemas dilaporkan di seluruh negara setiap tahun manakala laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan kira-kira 40 orang lemas di seluruh dunia setiap jam.

Menurut Lam Thye, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah mengenal pasti 12 lokasi di seluruh negara sebagai kawasan berisiko tinggi untuk kejadian lemas.

Kawasan yang dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi itu adalah Sungai Kampung Batu Payung di Sabah; Sungai SKC Kampung Timah, Sungai Chiling, Sungai Gasi, Air Terjun Sungai Sendat dan Empangan Semenyih di Selangor; Sungai Kampung Sabak, Pantai Nipah dan Muara Tok Bali di Kelantan; Air Terjun Lata Berembun dan Air Terjun Chamang di Pahang serta Teluk Bahang di Pulau Pinang.

Selain 12 kawasan itu, beliau mencadangkan lebih banyak kawasan yang mempunyai risiko tinggi lemas dimasukkan ke dalam senarai supaya tindakan pencegahan boleh diambil untuk mengurangkan bilangan kes.

Kata beliau, masanya telah tiba untuk orang ramai menjadi sukarelawan atau diwujudkan pasukan rondaan sukarela bagi memberi amaran kepada pihak berkuasa jika mereka menjumpai kawasan atau keadaan yang boleh menyebabkan kes lemas berlaku.

Lam Thye berkata, beliau sedih apabila terbaca mengenai kes lemas termasuk insiden terbaru di mana tiga pelajar menjadi mangsa ketika berenang bersama empat rakan di Pantai Teluk Kalong, Kijal di Kemaman pada Khamis lepas (23 Ogos).

“Amat malang sekali kes lemas masih berlaku walaupun Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA) telah mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk berada dalam keadaan bersiap sedia di semua kawasan berisiko tinggi semasa cuti sekolah,” ujarnya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, ujar beliau, pihak sekolah juga perlu memberikan kesedaran tentang bahaya lemas dengan mengundang wakil dari MKAA atau agensi berkaitan untuk memberikan taklimat mengenainya sebelum cuti sekolah bermula.

Selain itu, katanya, media sosial dan konvensional juga perlu  mewujudkan dan mengekalkan kesedaran tentang masalah lemas secara berterusan agar ia tidak menjadi punca utama kematian terutama dalam kalangan kanak-kanak. – MalaysiaGazette