Aksi Mohamed Salah ketika perlawanan menentang Brighton dalam perlawanan di Anfield awal pagi tadi. - Kredit Foto: Facebook Liverpool FC

LONDON – Liverpool menewaskan Brighton Hove Albanion dengan jaringan 1-0 pada perlawanan yang berlangsung di Anfield awal pagi tadi.

Jaringan tunggal pasukan itu dilakukan Mohamed Salah.

Pada awal babak pertama Liverpool dilihat menguasai permainan apabila sering mengasak pintu gol pasukan lawan.

Jaringan yang dicari Liverpool menjadi kenyataan pada minit ke-22 menerusi rembatan terus Salah yang melepasi kawalan pertahanan selepas menerima bola daripada Firmino.

Permainan menarik kedua-dua pasukan bersambung pada babak kedua dan tuan rumah menggandakan serangan untuk mencari gol kedua.

Bagaimanapun hasrat tersebut tidak tercapai apabila pemain Brighton turut mempamerkan disiplin yang tinggi untuk menjaga pintu gol mereka..

Brighton juga berpeluang untuk meledak jaringan di minit akhir permainan menerusi tandukan Glenn Murray tetapi Alisson Becker bertindak lebih pantas menampan bola keluar.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan merupakan kemenangan ketiga berturut-turut buat skuad bimbingan Jurgen Klopp tanpa melepaskan sebarang gol setakat ini. – MalaysiaGazette