Rahmad Isahak

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan telah menghampakan harapan rakyat apabila gagal melaksanakan janji-janji manifesto yang dibuat semasa kempen Pilihan Raya Umum lalu.

Janji-janji itu termasuk pemansuhan bayaran tol dan menghapuskan hutang Felda.

Bekas Naib Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP), Rahmad Isahak berkata, kegagalan Pakatan Harapan melunaskan janji-janji itu jelas membuktikan manifesto yang dirangka itu dibuat secara tergesa-gesa demi kredit politik.

“Semua janji yang mereka taburkan sebelum ini dalam suasana terdesak semata-mata bagi meyakinkan pengundi untuk mendapat mandat.

“Kini setelah Kerajaan Barisan Nasional dapat ditumbangkan, Kerajaan Pakatan Harapan terbukti tidak berdaya untuk mengakses bentuk kepimpinan yang cekap dan termasuklah status kewangan negara.

“Sehingga kini usaha bagi menghapuskan hutang Felda dan memansuhkan bayaran tol tidak menjadi realiti, hanya sekadar fantasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, Pakatan Harapan sepatutnya menilai kemampuan diri sendiri sebelum bersungguh-sungguh menabur pelbagai janji demi mendapatkan kuasa politik.

“Kini rakyat menjadi mangsa apabila yang ditunggu tidak tiba.

“Janji manifesto PH yang diilhamkan sebagai acuan untuk memancing undi tanpa kawalan serta pengetahuan mengenai kedudukan ekonomi yang sahih boleh disifatkan sebagai menggali kubur mereka sendiri,” tegasnya. – MalaysiaGazette