Home Utama Warga asing tidak boleh beli kediaman Forest City – Tun M

Warga asing tidak boleh beli kediaman Forest City – Tun M

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pekerja Asing di Malaysia di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 JULAI 2018.
Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak akan membenarkan pelabur asing membeli unit-unit kediaman di projek Forest City, di Johor.

“Satu perkara yang pasti, bandar yang akan itu dibina tidak boleh dijual kepada orang asing. Kerajaan tidak akan memberikan visa untuk orang datang dan tinggal di sini,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media di sini.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu kerana bandar baharu tersebut dibina untuk orang asing dan bukan rakyat Malaysia.

Katanya, kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu membeli kediaman tersebut.

Projek Forest City adalah pembangunan sebuah bandar baru yang menelan kos AS$100 juta, dibangunkan oleh pemaju Country Garden Holding.

Bandar baharu itu mensasarkan 700,000 penduduk.

Sebelum ini, Parlimen dimaklumkan penjualan tanah pegangan bebas di kawasan Forest City kepada orang asing akan diteruskan oleh Kerajaan Pakatan Harapan.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar memberitahu, langkah itu selaras dengan peraturan dikeluarkan oleh pihak Majlis Tanah Negara bermula tahun 2014.

Menurutnya, kebenaran itu selaras peruntukkan seksyen 344 (b) dalam Kanun Tanah Negara yang menyatakan pihak berkuasa negeri mempunyai hak memberi kebenaran kepada warga asing untuk memiliki tanah itu.

Ia bagaimanapun tertakluk kepada beberapa garis panduan perolehan tanah yang dikeluarkan unit perancangan ekonomi yang dipersetujui Majlis Tanah Negara. – MalaysiaGazette