FGV

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad merekodkan kerugian bersih sebanyak RM23.23 juta pada suku kedua berbanding keuntungan bersih sebanyak RM37.26 juta tahun lalu.

Pendapatan pada suku kedua susut sebanyak 18.42 peratus kepada RM3.44 bilion berbanding RM4.21 bilion sebelum ini.

“Prestasi lemah ini disebabkan produktiviti yang rendah, harga purata minyak mentah menurun, kos pengeluaran meningkat dan kerugian daripada syarikat kerjasama dan bersekutu,” menuruT FGV dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

FGV menambah, prestasi syarikat yang lemah itu tersasar daripada jangkaan pasaran dan sasaran dalaman yang ditetapkan oleh pihak pengurusan syarikat.

Menurutnya, harga minyak sawit mentah (MSM) sebanyak RM2,419 setiap tan pada suku kedua, kejatuhan sebanyak 13.5 peratus berbanding RM2,796 setiap tan pada tahun lalu.

Walau bagaimanapun, volum jualan MSM meningkat sebanyak 14.8 peratus kepada 480,738 tan berbanding 421,045 tan.

Manakala pengeluaran tandan buah segar (FFB) lebih rendah kepada 993.505 tan pada suku kedua berbanding 1.04 juta tan pada tahun lalu.

FGV berkata, untuk separuh tahun pertama yang berakhir pada 30 Jun, syarikat itu merekodkan kerugian bersih sebanyak RM21.9 juta berbanding keuntungan bersih RM38.96 juta pada tahun lalu, penurunan 17.45 peratus kepada RM7.04 bilion.

Menurut FGV, prestasi yang lebih lemah pada tahun ini didorong oleh harga purata MSMyang lebih rendah iaitu RM2,447 setiap tan dalam tempoh enam bulan berbanding RM2,916 pada separuh pertama tahun sebelumnya.

“Hasil yang lebih rendah juga dilaporkan dalam penyelidikan dan pemprosesan kernel serta pembangunan perniagaan disebabkan oleh margin lebih rendah.

“Selain itu, ia turut dipengaruhi pengurangan volum jualan dalam perniagaan baja. Prestasi sektor (perladangan) semakin terancam dengan penurunan hasil daripada usaha sama,” tambahnya.

Syarikat itu menambah, hasil FFB merekodkan sebanyak 7.23 tan bagi setiap hektar dan menjangkakan memperoleh hasil penuh setahun sebanyak 17 tan sehektar pada 2018 dan lebih daripada 20 tan sehektar pada tahun 2019.

Prestasi itu adalah hasil daripada peningkatan dalam amalan pertanian dan tanaman semula yang agresif.

Namun, FGV menjangkakan hasil FFB susut di bawah sasaran dalaman sebanyak 17.5 tan sehektar, juga di bawah purata industri negara.

Jelasnya, sasaran yang ditetapkan oleh pengurusan pada awal tahun kewangan ini telah mengambil kira kekurangan buruh yang belum pernah berlaku sebelum ini dan profil usia pokok.

Daripada 342,420 hektar kawasan yang ditanam, satu pertiga atau 131,470 hektar yang berusia di atas 20 tahun, manakala baki 144,991 hektar dikategorikan sebagai muda dan tidak matang.

FGV mengakui tahun ini cukup mencabar dengan prospek penurunan harga CPO, ketidakcekapan operasi dan pulangan tidak direalisasikan daripada pelaburan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast