KUALA LUMPUR – Sekatan untuk warga asing membeli hartanah di Forest City sahaja berunsurkan diskriminasi ,kata Naib Presiden UMNO, Datuk Mohamed Khaled Nordin.
Katanya, pengekangan pemilikan hartanah oleh warga asing sepatutnya dibuat berasaskan dasar yang rasmi dan mengikut lunas perlembagaan.
Bekas Menteri Besar Johor itu mendakwa Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad tidak memberikan asas yang jelas terhadap keputusannya baru-baru ini.
“Pertama, adalah diakui bahawa keputusan untuk mengekang milikan hartanah olehwarga asing bukanlah dasar yang asing kepada sesebuah kerajaan.
“Namun, ia dilaksanakan secara jelas, terancang, teratur dan
berperlembagaan. Bukannya secara tiba-tiba melalui satu pengumuman yang hanya dikhususkan kepada satu projek hartanah tertentu sahaja.
“Tanpa dasar rasmi negara sebagai sandaran dan asasnya, Kerajaan kelihatan melakukan tindakan yang boleh dianggap berunsur diskriminasi terhadap pembangunan hartanah di Forest City,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Tambah Pengerusi Majlis Dasar Awam UMNO Malaysia itu lagi pengumuman Perdana Menteri itu menjerumus kepada keputusan yang cenderung kepada pertimbangan politik apabila hanya khusus kepada Forest City dan akhirnya hanya akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara dan negeri Johor.
“Malah, ia membuka ruang tanggapan bahawa halangan serta sekatan pemilikan asing di Forest City ini merupakan satu keputusan yang didorong oleh sentimen politik dan bukan dipimpin oleh pertimbangan dasar yang objektif.
“Majlis ini merasakan bahawa keputusan, dasar serta pendirian menghalang dan menyekat pemilikan hartanah oleh warga asing seperti ini tidak seharusnya bersifat eksklusif kepada Johor semata-mata. Sebaliknya, ia haruslah mencerminkan dasar sebenar Kerajaan.
“Jika keputusan menyekat pemilikan oleh warga asing ke atas hartanah di Forest City ini diteruskan, ternyata ia adalah keputusan yang akan merencatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia, terutamanya Johor,” katanya lagi.
Mohamed Khaled turut menggesa Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian itu menyatakan pendiriannya mengenai keputusan Mahathir- Malaysiagazette