Liew Vui Keong
Pemansuhan hukuman mati yang diusahakan kerajaan tidak mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan tertuduh kes itu, Sirul Azhar Umar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

KUALA LUMPUR – Tiada layanan istimewa diberikan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam kes penyelewengan dana RM1.5 bilion untuk projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong menegaskan, ketika Mohd Shafie ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tiada layanan istimewa diberikan kepadanya.

“Undang-undang adalah sama rata kepada semua rakyat Malaysia, tiada layanan istimewa diberi kepada sesiapa dan tidak patut diberi kepada sesiapa pun.

“Dalam kes Shafie Apdal pada masa tahanan beliau tidak diberikan layanan istimewa,” katanya pada sidang Dewan Negara, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff daripada Pakatan Harapan (PH) yang meminta penjelasan tentang dakwaan layanan istimewa diberikan dalam kes rasuah Ketua Menteri Sabah itu.

Terdahulu Vui Keong berkata, kes rasuah Mohd Shafie tidak diteruskan kerajaan susulan ketiadaan bukti mencukupi untuk meneruskan pendakwaan ke atas Presiden Warisan itu.

Beliau menjelaskan, perkara itu telah diputuskan pendakwaraya pada 20 Jun lalu setelah mendapati tiada bukti mencukupi yang boleh melanjutkan siasatan tersebut.

Vui Keong turut membidas dakwaan Senator Jamilah Sulaiman daripada Barisan Nasional (BN) pada sesi pertanyaan lisan Dewan Rakyat hari ini yang mempertikaikan keputusan kerajaan tidak meneruskan pendakwaan itu.

Malah keputusan itu tidak bermakna kerajaan memberi layanan istimewa kepada Mohd Shafie selepas kes rasuah melibatkan peruntukan RM1.5 bilion daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) ditutup.

“Tohmahan dan fitnah yang datang daripada YB Senator ini adalah tidak berasas sama sekali kononnya melibatkan wang RM1.5 bilion.

“Kita kena tanya satu soalan siapa yang jaga Jabatan Air Negeri pada masa itu? YB Senator patut tanya kepada mantan presidennya kerana beliau merupakan Ketua Menteri Sabah ketika itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast