Datuk Liew Vui Keong
Liew Vui Keong

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih belum mengesahkan kesahihan laporan rawatan perubatan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang dikehendaki pihak berkuasa sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong mengesahkan perkara tersebut terhadap dua laporan rawatan perubatan Musa yang diperolehi dari England dan Malaysia.

“Laporan perubatan itu adalah datang dari England dan satu lagi datang daripada satu pusat perubatan swasta di negara ini tapi saya tidak tahu di mana.

“Pihak kerajaan daripada doktor kerajaan belum lagi mengesahkan kesahihan laporan perubatan tersebut

“Saya rasa terpulang kepada pihak Peguam Negara untuk membuat permohonan (tempoh sahkan laporan),” katanya ketika ditemui pemberita di Bilik Media Parlimen, di sini, hari ini.

Sebelum ini, bekas Ketua Menteri Sabah itu yang berada di United Kingdom (UK) untuk menerima rawatan kesihatan kembali ke tanah air pada Selasa lepas.

Musa dipercayai meninggalkan Malaysia pada 17 Mei lalu untuk menerima rawatan kesihatan di UK.

Terdahulu, Musa perlu mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi Sungai Sibuga sebelum 11 September ini atau mengosongkan kerusi itu.

Speaker DUN Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali berkata, arahan berkenaan seiring Perlembagaan Negeri yang memberi tempoh tiga bulan selepas sidang DUN pertama bagi wakil rakyat dipilih untuk mengangkat sumpah.

DUN Sabah pertama kali bersidang pada 11 Jun selepas Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lalu.

Musa dikehendaki pihak polis bagi membantu siasatan berhubung laporan polis yang dibuat Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin ke atas beliau.

Ia dipercayai mempunyai hubung kait dengan istiadat mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah pada malam 10 Mei yang lalu. – MalaysiaGazette