Dr Halimah Ali
Dr Halimah Ali

SHAH ALAM – Pas tidak sekali-kali ‘berkahwin’ dengan UMNO, sebaliknya mereka hanya berkawan dan bekerjasama untuk mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Menurut calon Pas, Dr Halimah Ali, momokan kononnya Pas dan UMNO ‘berkahwin’ adalah usaha yang dicetuskan parti PH untuk mengelirukan rakyat berikutan mereka berada dalam keadaan terdesak dengan kerjasama dua parti terbesar orang Melayu itu.

Katanya, mengikut Fasal 3 (6) Perlembagaan Pas, parti itu boleh menyertai dan bekerjasama dengan mana-mana badan persatuan atau pertubuhan yang tidak berlawanan tujuan dengan Pas bilamana dan selama ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara.

“Sebenarnya Pas bukan kahwin dengan UMNO. Kita berkawan. Perlembagaan Pas Fasal 3 (6) membolehkan kita menyertai kerjasama dengan anggota pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan Pas.

“Mana-mana pihak yang tidak berlawanan dengan Pas, boleh kerjasama. Soal kahwin itu sindiran daripada pihak tertentu kepada Pas, dan kenapa kita perlu mengambil berat pasal sindiran itu.

“Kita (Pas dan UMNO) sekarang ini berada di blok pembangkang dan kerjasama ini adalah antara gerak kerja yang tidak berlawanan dengan perjuangan parti. Dan ini berbeza ketika UMNO menjadi kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu,” katanya pada program wawancara dengan sebuah akhbar di sini, hari ini.

Dr Halimah yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Malaysia berkata, parti itu dan UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) mempunyai matlamat yang sama iaitu suara pembangkang yang kuat di sidang DUN Selangor.

Ujarnya, walaupun PH menang pilihan raya bagi penggal ketiga berturut-turut, tetapi tidak memberi kesan yang banyak dalam mengubah nasib dan kebajikan rakyat.

“Jadi PRK ini, rakyat tidak perlu lagi kepada calon PH. Rakyat perlu kepada calon Pas yang dapat mengangkatkan suara mereka dan boleh didengari oleh semua kementerian,” tegasnya.

Menurut Dr Halimah, pucuk pimpinan meletak beliau sebagai calon di DUN Seri Setia adalah kerana mahu menang dan menambah suara pembangkang dalam kerajaan Selangor.

Jelas beliau, ada sesetengah wakil rakyat dari kerajaan tidak berani hendak mengemukakan masalah sebenar dihadapi rakyat di kawasan mereka menyebabkan keadaan penduduk di kebanyakan kawasan DUN seolah terbiar. – MalaysiaGazette