Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak secara sinis berkata, rakyat China tidak pernah mendakwa negara itu dijual kepada Malaysia meskipun nama jalan di Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP), di Qinzhou diletakkan nama Lebuh Kuantan.

CMQIP adalah taman berkembar dengan Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) yang terletak di Kuantan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, CMQIP yang dikuasai 51 pegangan saham oleh China dan bakinya oleh Malaysia adalah taman perindustrian yang sangat berjaya.

Ia memiliki keluasan sebesar 55 kilometer persegi – iaitu tiga kali ganda lebih besar daripada MCKIP di Kuantan.

MCKIP dimiliki oleh Malaysia dengan pegangan 51 peratus saham manakala syarikat-syarikat dari China dengan 49 peratus.

lebuh kuantan
Mercu tanda MCKIP di Kuantan dan CMQIP di Qinzhou, China.

“Walaupun CMQIP begitu besar dan ada jalan yang bernama Lebuh Kuantan di sana, rakyat China tidak mengadu bahawa China sudah dijual kepada Malaysia,” katanya menerusi Facebook.

Kenyataan Najib itu adalah sambungan daripada postingnya semalam.

Ahli Parlimen Pekan itu mengucapkan syukur kerana fitnah yang dilemparkan terhadapnya berhubung MCKIP akhirnya diperbetulkan.

Ia susulan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh yang akhirnya mengesahkan tiada tembok besar yang mengelilingi MCKIP seperti yang didakwa Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Sebaliknya, ahli Parlimen Kuantan itu berkata, tembok yang ada hanya mengelilingi kilang Alliance Steel sahaja.

Ini kerana, kilang besi bukan tempat selamat buat orang awam keluar masuk dengan mudah. Oleh itu, bukan sesuatu yang mengejutkan jika kilang itu membina tembok sebagai langkah pengawalan dan keselamatan.

Fuziah berkata, perkara itu akan diperjelaskan kepada Dr Mahathir nanti, selain mengakui MCKIP telah menawarkan peluang pekerjaan di kawasan Parlimen itu.

“Alhamdulillah, satu lagi fitnah sebelum PRU14 terhadap kerajaan BN dulu telah diperbetulkan. Yang baik dituduh sebagai buruk,” katanya. – MalaysiaGazette