Pelakon, Hairul Azreen hadir bersama isterinya, Hanis Zalikha.

KUALA LUMPUR- Pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menyifatkan dakwaan pelakon, Hairul Azreen yang kononnya dia hampir diculik ketika penggambaran filem di Pangkalan Hadapan Tun Sharifah Roziah, Semporna baru-baru ini sebagai tidak berasas.

Komander Esscom, Datuk Hazani Ghazali berkata, ini kerana sepanjang penggambaran pihak berkuasa itu telah menugaskan Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk menjaga keselamatan di sana.

Sehubungan itu katanya, dakwaan tersebut mengelirukan, mengundang persepsi negatif dan hanya gimik promosi untuk menarik publisiti murahan.

“Kenyataan pelakon filem ini tidak berasas memandangkan tiada sebarang kejadian seumpama itu yang dilaporkan sepanjang kru filem berkenaan berada di kawasan tersebut yang merupakan kawasan keselamatan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

“Sepanjang mereka menjalankan penggambaran filem, mereka disertai dan dikawal oleh pasukan keselamatan yang terlatih, Paskal dan saya percaya tidak ada cubaan melakukan penculikan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam laporan media hari ini, Hairul Azreen mendakwa dia hampir diculik lanun ketika penggambaran filem Paskal di perairan Sabah bulan lalu.

Bagaimanapun jelasnya, tiada sebarang kejadian tidak diingini terjadi dan proses penggambaran juga berjalan dengan lancar. – MalaysiaGazette