KUALA LUMPUR- Kerajaan tetap komited untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 2.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan meneruskan agenda pengurangan defisit secara beransur-ansur tanpa menggugat pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat walaupun berhadapan dengan masalah legasi hutang.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, bagi tujuan tersebut, kerajaan akan menubuhkan dua jawatankuasa baharu iaitu Jawatankuasa Kewangan Awam dan Jawatankuasa Reformasi Cukai.
Jelasnya, Jawatankuasa Kewangan Awam akan menyediakan rancangan fiskal jangka sederhana sambil meneruskan agenda konsolidasi fiskal dengan mengambil kira keperluan Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menyokong pertumbuhan ekonomi melalui perbelanjaannya.
Jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh beliau sendiri dan akan dianggotai oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali dan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunos.
Jawatankuasa Reformasi Cukai pula akan mengkaji sistem pencukaian negara secara menyeluruh bagi menjadikannya lebih efisien, lebih neutral dan lebih progresif bagi membantu memacu pertumbuhan ekonomi berkualiti tinggi tanpa membebankan rakyat.
“Antara langkah-langkah yang akan dikaji adalah cara meminimumkan ketirisan cukai dan pengelakan cukai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Guan Eng turut mengesahkan desas-desus sebelum ini yang mengatakan kerajaan akan melepaskan pegangan dalam beberapa syarikat miliknya (GLC).
“Kerajaan Persekutuan juga sedang menimbang beberapa cadangan seperti melepaskan pegangan sahamnya dalam beberapa syarikat yang tidak kritikal dan tidak strategik tanpa menjejaskan kestabilan pasaran sambil melakukan lelongan tanah awam secara terancang dan tender terbuka.
“Sebelum ini, tanah-tanah awam telah dijual pada harga yang sangat rendah kepada pihak-pihak yang mempunyai hubungan politik dengan kerajaan yang lama.
“Perbuatan ini telah mengurangkan hasil Kerajaan Persekutuan,” tegasnya.
Dari segi makro pula, kerajaan akan sentiasa memastikan keadaan ekonomi dan pasaran tempatan membangun dengan stabil namun seperti negara lain, prestasi pasaran modal tempatan dan juga keutuhan nilai mata wang ringgit dipengaruhi oleh perkembangan global.
Ini boleh dilihat apabila persetujuan pakatan perdagangan di antara Amerika Syarikat dan Mexico telah meningkatkan sentimen tempatan serta semua negara pesat membangun.
“Sekiranya Amerika Syarikat dan China dapat mencapai muafakat di dalam perundingan perdagangan mereka, maka sentimen di pasaran modal dan nilai mata wang Malaysia dijangka akan meningkat lagi.
“Akan tetapi, sebaliknya akan berlaku jika rundingan tersebut gagal. Kerajaan Malaysia sedang memantau perkembangan global ini dengan rapi dan
bersedia untuk bertindak jika perlu demi menjaga kesejahteraan rakyat,”ujar beliau lagi.
Kesemua cadangan tersebut diperolehi hasil daripada perbincangan focus group pertama sebelum perbentangan Bajet 2019 diadakakan pada November ini.
Beberapa sesi perbincangan focus group telah dijadualkan berlangsung dari bulan Ogos ke September dan perbincangan tersebut akan menyentuh beberapa perkara penting termasuklah pasaran buruh tempatan, kualiti sistem pendidikan negara, pertumbuhan mapan dan kos sara hidup di kalangan masyarakat miskin di bandar.
Wakil-wakil industri, badan-badan profesional, badan-badan bukan kerajaan serta agensi-agensi kerajaan akan menyertai perbincangan ini yang bertujuan menyejahterakan rakyat Malaysia.
Semua rakyat Malaysia juga dijemput menyertai proses penyediaan belanjawan dengan menyumbangkan cadangan anda ke laman sesawang belanjawan2019.treasury.gov.my.
Laman ini akan mula beroperasi dari 28 Ogos sehinggalah 30 September 2018. Anda juga boleh berkongsi idea dengan Kerajaan Persekutuan di Facebook, Instagram dan Twitter sambil menggunakan tanda pagar #belanjawan2019.-MalaysiaGazette