Foto Instagram Aishah.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Aishah mendedahkan keputusan penyelidikan rasmi gemologis bertauliah yang mengesahkan rantai emas putih bertatahkan batu permata yang merupakan hadiah daripada usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida adalah palsu.

Aishah, 53, berkata, tindakannya memuatnaik keputusan itu di laman sosial Instagramnya bukan untuk mengaibkan Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman.

Sebaliknya, penyanyi lagu berhantu Janji Manismu itu berharap golongan artis tidak mudah dipermainkan oleh individu yang bertaraf jutawan.

“Banyak sebenarnya video yang kami rakam dan belajar mengenai intan permata. Tapi panjang ceritanya tapi inilah hasil penyelidikan rasmi dari gemotologist yang bertauliah.

“Sebagai orang ditipu I rasa tertekan bila orang kutuk tak tentu pasal. Inilah dia penilaian dari gemotologist bertauliah untuk menjawap kata-kata yang mengatakan I tak faham susut nilai berlian dan mengatakan I tipu dan hanya ingin mengaibkan orang.

“Bacalah report ini baik2. DSV, I keluarkan ini bukan nak aibkan you, cuma I minta janganlah buat kami golongan artist begini. Ye mungkin Allah bagi you jadi kaya raya tapi itu tak membenarkan you menipu kami.

“I tak nak apa2 dari you, sekadar mohon maaf di atas penipuan ini. Simpanlah La Vida coin you tu. Jangan ingat orang yang tak kaya macam I tak ada maruah,” tulisnya panjang lebar.

Semalam, jutawan kelahiran Machang, Kelantan itu menyifatkan juara Gegar Vaganza musim keempat (GV4) seperti ‘kacang lupakan kulit’ gara-gara isu kontroversi hadiah rantai emas putih bertatah batu permata yang didakwa penyanyi itu palsu.

Vida berkata, sebagai penaja utama GV4 tahun lalu, pihaknya banyak menyokong kerjaya Aishah yang suram sebelum memasuki program realiti itu.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Aishah terdesak memerlukan wang tunai apabila enggan menerima tawaran pertukaran hadiah dengan rantai emas putih itu dengan Lavida Coin iaitu bisnes baharunya dalam mata wang kripto. – MalaysiaGazette