KUALA LUMPUR – Presiden PKR yang baru diangkat, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mendedahkan siapa yang beliau lebih suka bekerjasama dalam parti.

Ujarnya, beliau enggan mendedahkan pilihan hatinya bagi jawatan kedua tertinggi itu kerana tidak pernah dibicarakan kepada sesiapa.

“Soal hati itu jangan dibicarakan,” sambil disambut ketawa para media didalam bilik media.

Anwar ditanya mengenai pilihan beliau untuk jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan PKR, November depan.

Jawatan Timbalan Presiden PKR direbut dua nama besar dalam parti itu iaitu penyandangnya, Datuk Seri Azmin Ali dan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau belum memutuskan untuk bertanding di kerusi mana buat masa ini.

Ini kerana ada beberapa kerusi yang enggan dilepaskan oleh Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

“Saya sudah beritahu Perdana Menteri bahawa saya nak tumpu urusan transformasi Parlimen jadi harap sebelum sidang Dewan Rakyat pada Oktober depan.

“Pilihan kerusi mana, saya masih bincang. Kerusi Pandan atau Gombak tidak bolehlah nampaknya.

“Ada tiga empat orang yang beri cadangan, dulu ada yang cadang tapi bila kita tanya mereka tidak berani pulak nak bagi,” katanya.

Sebelum ini, Anwar dijadualkan masuk ke bidang politik pada Oktober depan bagaimanapun masih belum memutuskan untuk bertanding di kerusi mana.

Langkah itu dilihat sebagai persediaan untuk Anwar menjadi Perdana Menteri Kelapan susulan perjanjian PH yang dipersetujui Januari lalu.

Ia bagi menetapkan Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Ketujuh dan Anwar sebagai Perdana Menteri Kelapan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast