AirAsia
AirAsia

KUALA LUMPUR – Rancangan AirAsia Group Bhd. untuk  memperluas penguasaan pasaran di China terjejas selepas syarikat penerbangan tambang murah terbesar Asia Tenggara itu gagal memuktamadkan perjanjian dengan rakan kongsi tempatan untuk menerokai pasaran penerbangan kedua terbesar dunia.

Perjanjian awal untuk menerokai dengan China Everbright Group dan kerajaan Henan yang ditandatangani pada tahun lalu telah luput dan
tidak akan disamnbung, kata AirAsia dalam makluman kepada Bursa Malaysia lewat Khamis lalu tanpa menyediakan maklumat lanjut, lapor Bloomberg.

Seorang jurucakap syarikat penerbangan tambang murah itu tidak membalas e-mel yang dihantar kerana semalam adalah hari cuti umum.

Kegagalan urus niaga itu bermakna China kekal menjadi pasaran belum digapai yang penting untuk Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes yang telah berkembang di rantau ini dengan syarikat sekutu di Indonesia, Thailand, India, Jepun dan Vietnam untuk menerokai pasaran penerbangan yang berkembang
pesat.

Pendedahan itu muncul ketika Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengkaji semula projek yang ditandatangani perdana menteri sebelum ini, menimbulkan ketidakpuasan hati Beijing.

Pada Julai lalu, kerajaannya menggantung projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang dibina oleh China Communications
Construction Co. dengan anggaran kos sebanyak RM81 bilion.

Semasa kempen pilihan raya pada Mei lalu, beliau mengkritik pelaburan China di negaranya dan memberi amaran terhadap ‘penjajahan’ baharu di Beijing pada bulan lalu semasa melakukan lawatan untuk memperbaiki hubungan antara kedua-dua negara.

AirAsia, Everbright dan kerajaan Henan memeterai memorandum persefahaman pada 14 Mei tahun lalu bagi membincang dan berunding perjanjian untuk kerjasama itu.

Perjanjian awal sah selama 12 bulan.

Syarikat penerbangan itu merancang melabur dalam infrastruktur penerbangan, termasuk terminal tambang murah di lapangan terbang Zhengzhou dan sebuah akademi untuk melatih juruterbang, krew dan jurutera selain kemudahan penyelenggaraan dan membaik pulih pesawat. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast