KUALA LUMPUR – Momentum aliran menurun di Bursa Malaysia dijangkakan berterusan minggu depan dengan pelabur kekal berhati-hati berikutan kebimbangan terhadap kemelut perdagangan global yang wujud semula, kata peniaga.
Beliau berkata,memandangkan tempoh pelaporan prestasi keuntungan korporat telah berakhir, perkembangan luaran khususnya perdagangan akan menjadi faktor utama bagi corak dagangan.
“Kebimbangan terhadap unjuran perdagangan global akan terus mempengaruhi ekuiti. Jika minat risiko menghindari pasaran, pasaran saham bukan hanya di Malaysia malah peringkat global turut akan mengalami tekanan semula,” katanya kepada Bernama.
Dilaporkan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mahu meneruskan rancangannya mengenakan tarif ke atas US$200 bilion nilai import China sebaik sahaja tempoh maklum balas awam dimuktamadkan minggu depan.
Peniaga berkata, sensitiviti yang menyelubungi perdagangan akan mencetuskan ketidakseimbangan dalam pasaran tukaran asingan, sekali gus meningkatkan nilai dolar AS dan mata wang selamat lain.
Peso Argentina telah menerima kesannya, kehilangan hampir satu perlima daripada nilainya di pasaran tukaran asing pada Jumaat sebelum bank pusatnya mengumumkan pelan drastik untuk menaikkan kadar faedah sebanyak 60 peratus dalam usaha meningkatkan mata wangnya.
Bagi minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia diniagakan tinggi antara 1,804.89 dan 1,826.9, menjejaki prestasi Wall Street yang kukuh, sebelum didagangkan rendah pada Khamis disebabkan kebimbangan terhadap perdagangan AS-China.
Pada dua hari pertama, pasaran tempatan bergerak positif dan ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh tiga bulan namun rendah pada Rabu memandangkan peserta pasaran memberi reaksi ke atas kenyataan agresif Trump mengenai perdagangan dan tarif.
Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, dana asing merupakan penjual bersih pada Khamis dengan RM122.6 juta selepas mengalami aliran masuk bersih awal minggu ini.
Beliau berkata, dana asing masih lemah pada masa ini, namun keseluruhannya, aliran itu meningkat sejak Mei.
“Setakat ini, keuntungan daripada syarikat perladangan dan telekomunikasi adalah kurang menyakinkan dan boleh menjejaskan (indeks komposit) FBM KLCI.
“Bagaimanapun, industri berorientasikan eksport seperti sarung tangan getah, bank dan pengguna boleh memberi sokongan kukuh kepada indeks utama itu,” katanya, dengan menambah bahawa paras sokongan dan rintangan kini ditetapkan masing-masing pada 1,805 dan 1,839.
Pasaran tempatan ditutup pada Jumaat bagi cuti umum sempena Hari Kebangsaan.
Berbanding Jumaat minggu lepas, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI ditutup 11.07 mata lebih tinggi kepada 1,819.66 pada Khamis.
Indeks FBM Emas susut 22.07 mata kepada 12,719.42 dan Indeks FBMT100 turun 2.38 mata kepada 12,526.43.
FBM 70 merosot 299.32 mata kepada 15,126.05 dan Indeks FBM Emas Syariah kurang 74.72 mata kepada 12,807.07, manakala FBM Ace susut 151.39 mata kepada 5,283.71.
Mengikut sektor, Indeks Kewangan melonjak 280.24 mata kepada 17,964.97, namun Indeks Perladangan turun 67.77 mata kepada 7,577.58, dan Indeks Perusahaan susut 17.3 mata kepada 3,221.96.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 10.65 bilion unit bernilai RM9.9 bilion daripada 9.65 bilion unit bernilai RM9.15 bilion minggu lepas.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama bertambah kepada 6.81 bilion saham berniai RM9.05 bilion daripada 6.64 bilion saham bernilai RM8.32 bilion.
Waran mencatatkan jumlah dagangan sebanyak 1.8 bilion unit bernilai RM488.26 juta berbanding 1.69 bilion unit bernilai RM444.85 juta minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 2.03 bilion saham bernilai RM360.64 juta daripada 1.31 bilion saham bernilai RM379.24 juta. – MalaysiaGazette