KUALA LUMPUR –  Tahap perang perdagangan dan bagaimana keadaannya selanjutnya sudah tentu menjadi titik tumpu yang melanda pasaran ekuiti serantau termasuk Malaysia, kerana ia menyebabkan pengurus dana tidak memasuki pasaran serta mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Memperkatakan secara am, pasaran ekuiti Malaysia masih diganggu oleh ketidaktentuan luaran, kata Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, kepada Bernama.

Katanya, ekonomi Amerika Syarikat (AS) berterusan menujukkan aliran yang sihat dengan keluaran dalam negara kasar 2018 baru-baru ini disemak semula kepada 4.2 peratus berbanding 4.1 peratus jangkaan sebelumnya.

Mohd Afzanizam berkata, pada tahap ini, ekonomi AS bergerak pada kadar yang cepat dan tekanan inflasi semakin meningkat berasaskan premis yang mana kadar inflasi pada masa ini adalah 2.9 peratus untuk dua bulan berturut-turut,

Sudah tentu, kadar inflasi semasa melebihi sasaran dua peratus Rezab Persekutan AS (fed) yang menyimpulkan bahawa bank pusat AS berada pada landasannya untuk meningkatkan Kadar Dana Persekutuan pada mesyuarat berikutnya pada September.

“Dari satu segi, kita menghadapi situasi di mana kita mempunyai suasana kadar faedah yang lebih tinggi di negara membangun dan dari satu segi lagi, kebimbangan terhadap arah dasar di peringkat dalam negara.

“Mungkin ini akan menerangkan mengapa arah aliran berhubung aliran dana asing bersih tidak seimbang walaupun secara berselang seli kita melihat aliran masuk bersih,” katanya.

Secara keseluruhan, tiga hari pertama (Isnin-Rabu) minggu yang baharu berakhir, menyaksikan jumlah pengurangan bersih asing bernilai RM63.6 juta yang mengimbangi kemasukan bersih asing minggu lalu sebanyak RM46.5 juta yang direkodkan untuk minggu berakhir 24 Ogos, kata Penganalisa Penyelidik Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), Adam Mohamed Rahim.

“Bagaimanapun, pelabur meninggalkan saham Malaysia dengan aliran keluar bersih yang besar sebanyak RM121.6 juta kerana mereka mengambil kesempatan terhadap perolehan tunai menjelang hujung minggu yang panjang.

“Ini juga selaras dengan pasaran lain seperti Thailand dan Indonesia. Kita melihat bahawa tiada katalis baharu kerana pelabur masih menanti arah berhubung rundingan perdagangan baharu antara AS dan Mexico,” katanya.

Sementara itu, pada asas tahun sehingga kini sehingga Rabu (29 Ogos), jumlah aliran keluar bersih asing dari Malaysia adalah kira-kira RM8.6 bilion atau US$2.2 bilion, aliran keluar kedua paling rendah (di belakang Filipina) dalam kalangan empat pasaran ASEAN yang dijejaki, kata Adam.

Pada Khamis, indeks utama Bursa Malaysia ditutup keseluruhannya rendah pada 1,819.66 daripada 1,820.64 pada penutup Rabu dengan rugi mengatasi untung 685 kepada 299.

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya ditutup pada Jumaat sempena cuti am Hari Kebangsaan.

“Secara kumulatif asas tahun ke tahun sehingga Rabu (29 Ogos), bukanlah satu kejutan bahawa Indeks Pengguna KL adalah yang untung paling tinggi dengan peningkatan 13.9 peratus di tengah-tengah cuti cukai, memberikan beberapa sokongan kepada keseluruhan pasaran sementara Indeks Pembinaan KL mencatatkan prestasi terburuk setakat ini tahun ini, dengan penyusutan sebanyak 31.6 peratus.

“Dengan dasar yang sudah bermula seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kami percaya, keyakinan dalam kalangan pelabur semakin baik. Bagaimanapun, ini mungkin juga terjejas akibat daripada perkembangan luaran seperti pertikaian perdagangan yang sedang berlangsung antara Beijing dan Washington serta aliran ketat dasar monetari di ekonomi utama lain di dunia,” katanya

Ditanya sama ada rakyat Malaysia bersedia untuk SST di tengah-tengah kos sara hidup semasa yang tinggi, Ketua Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Dr Kamaruddin Mohd Nor, berkata SST meliputi item yang lebih kurang (5,445 item dikecualikan) dan membabitkan kurang kos pematuhan di peringkat hujung perniagaan, tidak seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Justeru, ia akan menjadi lebih murah bagi perniagaan untuk beroperasi dan diharapkan ini akan menjadi tabungan kepada pengguna,” katanya.

Bersetuju dengan pandangan ini, Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Profesor Emeritus Dr Zakariah Abdul Rashid, berpendapat pelaksanaan SST yang bermula pada 1 September akan memberi manfaat kepada pengguna.

Katanya, kesan terhadap harga barangan dan perkhidmatan selepas 1 September mungkin minimum kepada pengguna.

“Pengguna akan kurang terbeban dengan pelaksanaan semula SST kerana hanya mereka yang terbabit perlu membayar cukai. Jika kita melihat kepada kadar sifar GST Jun lalu dan ‘tempoh cuti cukai’, pengguna sebenarnya menikmati harga barangan yang rendah pada Jun,” katanya.

Selasa lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, memberikan pekenan kepada pelaksanaan SST yang membuka jalan kepada cukai berkenaan berkuatkuasa pada 1 September.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata pelaksanaan SST adalah sejajar dengan komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk memenuhi manifesto yang dijanjikan sewaktu pilihan raya umum lepas dan berharap meringankan beban rakyat kerana kerajaan akan hanya mengutip SST sebanyak RM21 bilion berbanding RM41 bilion dari GST.

Berhubung prestasi ringgit untuk minggu yang baru berakhir, Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidik Pasaran FXTM Global, Jameel Ahmad, berkata ringgit berupaya mendapat beberapa sokongan daripada kelemahan dolar US berhubung berita bahawa AS berjaya mencapai perjanjian perdagangan dengan Mexico.

“Bagaimanapun, sentimen pasaran baharu muncul kekal mendapat tekanan dengan kebimbangan berhubung rundingan perdagangan yang berlarutan antara AS dan China yang masih belum menghasilkan sebarang perkembangan,” katanya.

Jameel berkata, minggu berikutnya akan menjadi sangat sibuk kepada ekonomi Malaysia, dari segi pengumuman data domestik dan ketegangan perdagangan yang berterusan di pasaran global.

Tambahnya, adalah juga penting untuk memantau perkembangan yang berterusan lira Turki, memandangkan mata wang berkenaan berisiko untuk memasuki krisis fasa baharu.

“Jika lira dijual pada kadar sama seperti apa yang berlaku pada awal Ogos, ini akan menyebabkan pelabur utama menjauhkan diri daripada pasaran mata wang baharu muncul, sekali lagi.

“Ini bermakna bahawa ringgit akan sekali lagi menghadapi kejatuhan daripada sentimen pelabur pasaran baharu muncul,” kata Jameel.

Satu lagi faktor yang mungkin memacu ringgit adalah perkembangan ketegangan perdagangan AS-China, tambahnya.

“Terdapat keyakinan bahawa AS mungkin mengumumkan perjanjian baharu dengan Kanada dan Kesatuan Eropah dalam beberapa hari akan datang, yang akan menyediakan galakkan kepada asas kebimbangan bahawa Presiden Donald Trump tidak berniat untuk memulakan perang perdagangan global.

“Bagaimana dolar US bertindak terhadap pembangunan perdagangan akan menjadi penting terhadap sebarang perkembangan masa depan terhadap ringgit,” katanya.

Jameel berkata, ringgit berkemungkinan akan berada pada jajaran 4.10 – 4.12 pada minggu berikutnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast