Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada hari ini telah membincangkan dua isu yang menjadi pertanyaan ramai pihak iaitu Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Forest City di Johor.
Projek pembangunan Forest City di Johor

KUALA LUMPUR – Kerajaan Johor telah mencadangkan peruntukan 30 peratus bagi hartanah di projek Forest City kepada rakyat Malaysia berikutan kebimbangan penghijrahan warga China ke negeri itu.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan kuota itu belum dimuktamadkan, menurut laporan Malay Mail.

“Kuota kepada rakyat tempatan untuk pemilikan harta tanah di Forest City dilihat sebagai sekatan adil kerana hampir semua projek pembangunan lain di Johor terikat oleh pelbagai kuota kerajaan negeri untuk melindungi tanah.

“Kami berharap cadangan itu akan diterima secara positif oleh jawatankuasa khas yang terdiri daripada Kerajaan Negeri Johor, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kewangan dan juga pemaju Forest City, Country Garden Pacificview Sdn Bhd,” kata Dzulkefly

Bagaimanapun, Dzulkefly berkata, jawatankuasa itu, yang akan ditugaskan untuk meneliti isu pemilikan asing berkaitan dengan projek itu, belum lagi diadakan.

“Saya diberitahu bahawa wakil Kerajaan Persekutuan dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menghubungi kami esok (Isnin), tetapi kami belum menerima sebarang pengesahan,” katanya.

Dzulkefly menyambut baik penubuhan jawatankuasa khas itu kerana garis panduan dan peraturan tertentu mengenai projek Forest City dapat dijelaskan kepada orang ramai.

Beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) sekarang tidak melihat projek Forest City menimbulkan banyak isu kerana pelaburan asing itu telah memberi manfaat kepada Johor menerusi mewujudkan peluang-peluang pekerjaan.

Dzulkefly berkata, kerajaan negeri menghormati pendirian Kerajaan Persekutuan dalam isu tersebut namun menambah, terdapat juga keperluan untuk membetulkan pelbagai persepsi mengenai projek Forest City, seperti kebanjiran penduduk China dan tuntutan mereka mengenai status penduduk.

Beliau berkata, pemaju Forest City memberitahu kerajaan negeri hanya lima peratus daripada warga asing yang membeli hartanah di projek mega itu telah secara rasmi memohon program Malaysia My Second Home (MM2H).

“Angka itu disampaikan oleh pemaju Forest City berikutan lawatan fakta pada bulan Jun,” katanya.

Kerajaan negeri Johor sebelum ini mengambil inisiatif untuk bertemu dengan pemaju bagi mendapatkan penjelasan yang lebih baik selepas Kerajaan Negeri PH mengambil alih pemerintahan selepas Pilihan Raya Umum pada 9 Mei lalu.

“Ini adalah selari dengan pentadbiran baru untuk memahami dan melihat isu-isu yang dianggap telah menyebabkan pembangunan mega itu.”

Dzulkefly, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Iskandar, mengingatkan semua pihak perkara berkaitan dengan tanah, air dan hutan Johor adalah dalam bidang kuasa kerajaan negeri.

“Untuk pembangunan di negeri itu, semua pemaju perlu mematuhi nisbah kuota untuk hartanah yang terletak di lot antarabangsa seperti kuota Bumiputera dan juga kuota harga siling minimum RM1 juta untuk warga asing.

“Bagaimanapun, projek-projek seperti Forest City telah diberikan pertimbangan khusus oleh pentadbiran yang dipimpin Barisan Nasional sebelum ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette