Pengerusi Felda Global Ventures (FGV) Holding Berhad, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid bercakap pada sidang media khas berkenaan FGV Holding Berhad di Akademi FGV, Menara Chulan, Kuala Lumpur. foto MIRZA HASIM 3 SEPTEMBER 2018.
Datuk Wira Azhar Abdul Hamid

KUALA LUMPUR- FGV Holdings sedang menanti nasihat perundangan dari peguam – peguamnya sebelum mengambil tindakan lanjut terhadap individu yang bersalah hasil siasatan dalaman dan audit forensik yang dijalankan sejak Januari lalu.

Pengerusinya, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, nasihat perundangan berhubung siasatan terhadap empat urusniaga yang melibatkan antaranya pengambilanalihan Asia Plantation Ltd (APL), pelaburan dalam FGV Cambridge Nanosystem Ltd., pembelian dua unit kondominium di Troika Condominium dan dua lagi siasatan yang belum diumumkan dijangka diperoleh dalam tempoh dua minggu lagi atau selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan FGV akan menamatkan kontrak atau memberhentikan mana-mana individu yang terlibat termasuk pihak pengurusan kanannya.

“Apabila anda menguruskan sesebuah syarikat, ia mestilah selari dengan dasar dan prosedur sedia ada.

“Sekiranya ini tidak berlaku, perkara tersebut perlu dinilai semula dan tindakan perlu diambil dan sekarang kami sedang melalui satu proses yang sangat memeritkan.

“Ini kerana di FGV, kami tidak boleh sekadar bercakap tentang mengambil tindakan sahaja tetapi membiarkan ketidakcekapan tersebut berterusan kerana operasi perniagaan perlu dipertingkatkan.

“Proses ini tidak berlaku sekelip mata tetapi juga tidak perlu mengambil masa yang terlalu panjang,” katanya dalam satu sidang media khas di sini hari ini.

Sidang media itu buat pertama kalinya tidak dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad dan Ketua Pegawai Kewangannya, Ahmad Tifli Mohd. Talha yang dikatakan sedang menghadiri mesyuarat lembaga pengarah di Turki.

Tambah Azhar, prestasi kewangan FGV tidak begitu membanggakan dan ketinggalan di belakang pesaing-pesaing yang lain.

“Kalau tengok kepada Kumpulan FGV, tiada sebab kita tidak mampu mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM500 juta-RM600 juta, jauh lebih baik dari apa yang kita ada sekarang

“Jika tengok rekod pada 2012, FGV catat lebih RM1 bilion. Kami ada banyak aset,” tegasnya.

Ini jelas Azhar menyebabkan lembaga pengarah merancang melaksanakan satu pelan transformasi bagi memulihkan semula keuntungan syarikat dan menjadikannya lebih berdaya saing.

Ini termasuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Lembaga Pengarah Tender dan pelantikan Ketua Pegawai Transformasi, Syed Madhar Syed Hussain.

Penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa tersebut menurut Azhar tidak akan mengurangkan kuasa eksekutif yang ada pada pihak pengurusan.

Dalam pada itu, Pengarah Bebas FGV, Datuk Mohd. Anwar Yahaya ketika ditanya apakah ahli lembaga pengarah tidak berpuas hati dengan prestasi pengurusan ketika ini, beliau menjawab: “Jika pasaran tidak gembira dengan FGV, ahli lembaga pengarah juga tidak gembira.

“Kami akan mengambil inisiatif untuk meningkatkan urustadbir dan produktiviti.” -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast