PETALING JAYA – Pas berpuas hati dengan sistem pengundian awal di kalangan anggota tentera dalam proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia hari ini.
Calonnya, Dr Halimah Ali berkata, sistem yang digunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan mengasingkan anggota tentera dan pasangan menyaksikan proses mengundi yang tenang dan tidak sesak.
Katanya, berbanding proses sama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu, keadaan agak sesak dan tidak sistematik.
“Alhamdulillah saya lihat agak sistematik. Mereka (SPR) memecahkan anggota (tentera) dan pasangan mereka, berbanding dengan PRU14 hari tu mereka datang serentak dan berlaku kesesakan.
“Sistem hari ini nampak tenang sikit. Saya yakin, mereka bebas membuat pilihan, tidak terkongkong dengan ketakutan, yang mana dulu ada yang melihat dan mengintai mereka (mengundi) dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal anggota tentera dan keluarga di Dewan Serbaguna Ababil Pangkalan Udara TUDM Subang, dekat sini, hari ini.
Seramai 2,770 pengundi awal melibatkan 2,597 anggota tentera dan pasangan serta 173 anggota polis mengundi di Pusat Mengundi Kompleks SMS PDRM Shah Alam dan Pangkalan Udara TUDM Subang.
Menurut Dr Halimah, beliau menyerahkan kepada anggota tentera dan polis untuk membuat pilihan kerana percaya mereka mempunyai banyak maklumat, membaca, sentiasa berkongsi isu semasa dan sudah tentu boleh membuat keputusan sendiri.
“Mereka banyak membaca, mereka ada maklumat, mereka berkongsi dan mereka orang muda, mereka boleh buat keputusan sendiri berdasarkan apa yang berlaku sepanjang tempoh tiga bulan ini.
“Dan sudah tentu mereka mahu memilih (wakil rakyat) yang terbaik untuk mereka dan keluarga,” katanya. – MalaysiaGazette