PETALING JAYA – Calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr Halimah Ali menzahirkan rasa terkejut dengan berita seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Katanya, beliau agak meragui dengan penahanan itu yang dilakukan ketika Pas sedang bertungkus lumus berkempen pada PRK Seri Setia dan berbaki tiga hari untuk pengundi keluar mengundi.
“Saya pun terkejut malam tadi dengar kecoh-kecoh kata ada seorang bekas ADUN Pas ditahan SPRM.
“Kenapa (penahanan itu) sekarang? Saya harap pihak berkenaan dapat menjalankan tugas dengan baik dan bekas ADUN itu bersabar,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal anggota tentera dan keluarga di Dewan Serbaguna Ababil Pangkalan Udara TUDM Subang, dekat sini hari ini.
Semalam, SPRM menahan seorang bekas ADUN Negeri Selangor bagi membantu siasatan berkaitan salah guna kuasa berjumlah lebih RM50,000.
Wanita berusia 56 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.50 petang di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir untuk memberi keterangan.
Mengulas lanjut, Dr Halimah berkata, sudah tentu beliau dan Pas berharap siasatan dapat dilakukan dengan telus, bukan atas tekanan pihak tertentu yang mahu parti itu kalah dalam PRK Sabtu ini.
“Kita sentiasa berpendirian, yang betul tetap betul, yang salah tetap salah. Harap pihak berkenaan tidak mempolitikkan isu ini.
“Walaupun bekas ADUN itu kawan sejawat saya dulu, dia ada hak membela diri dan dia tidak bersalah sehingga kesnya didapati bersalah oleh mahkamah,” katanya. – MalaysiaGazette