Penaung Persatuan Kriket Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar bercakap kepada media pada majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah di Kinrara Oval Ground, Puchong, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 05 SEPTEMBER 2018.
Penaung Persatuan Kriket Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar bercakap kepada media pada majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah di Kinrara Oval Ground, Puchong, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 05 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Program Podium perlu diberi waktu yang panjang dalam usaha melihat keberkesanannya bagi melahirkan atlet bertaraf dunia.

Bekas Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar berkata, ketika ini program tersebut baru sahaja berjalan selama dua tahun.

Beliau berkata, untuk melahirkan seorang juara mengambil masa yang lama dan tidak boleh dalam tempoh singkat.

“Program Podium ini baru sahaja berusia dua tahun dan perlu diberi waktu.

“Contoh seperti atlet skuasy, Nicol David menjadi juara dunia bukan mengambil masa yang singkat tapi bertahun-tahun,” katanya.

Beliau ditemui media selepas majlis menandatangani ikrar Tolak Rasuah antara Persatuan Kriket Malaysia dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di pejabat persatuan itu di Kinrara di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam yang akan mengadakan pertemuan dengan Pengarah Program Podium, Tim Newenham minggu depan.

Pertemuan tersebut bertujuan mendapatkan penjelasan mengenai prestasi buruk atlet podium dalam Sukan Asia 2018 dan kegagalan Malaysia menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik.

Selain gagal dalam Sukan Asia 2018, kontinjen negara juga terkeluar daripada kelompok 10 terbaik pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, pada April lalu.

Syed Saddiq berkata, mereka akan mendapatkan laporan penuh post-mortem Sukan Asia 2018 sebelum membuat keputusan.

Mengulas lanjut, Tunku Imran yang juga Penaung Persatuan Kriket Malaysia berpendapat, hanya atlet yang mempamerkan prestasi tinggi serta berpotensi untuk meraih pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 dikekalkan dalam Program Podium.

“Atlet dalam Program Podium perlu dikurangkan dan hanya fokus kepada yang berpotensi meraih pingat selaras tujuan program mendapat pingat di Sukan Olimpik Tokyo.

“Namun jika kementerian ingin melakukan penambahbaik, ia perlu diserahkan kepada mereka yang pakar.

“Pada masa sama, Program Kita Juara yang diwujudkan sempena Sukan Sea Kuala Lumpur tahun lalu adalah program yang baik dan perlu diteruskan,” katanya.

Mengenai prestasi atlet di bawah program itu pada temasya Sukan Asia, Australia yang baru berakhir, Tunku Imran berkata, ia satu kejayaan kerana sasaran tujuh pingat emas berjaya dicapai walaupun terdapat atlet beraksi di bawah kemampuan sebenar.

Sebelum ini, bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Wira Mazlan Ahmad berkata, sudah tiba masanya Program Podium yang menggunakan perbelanjaan besar ditamatkan serta merta.

Inisiatif Program Podium dilancarkan pada 2015 oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin susulan kegagalan kontinjen Malaysia mencatat keputusan yang baik pada Sukan Komanwel Glasgow 2014 dan Sukan Asia di Incheon pada tahun sama.

Program Podium dimulakan pada 2016 dengan program bersepadu persediaan atlet elit itu diberi peruntukan RM75 juta pada tahun itu dengan Institut Sukan Negara (ISN) diberi tugas menjalankannya.

Matlamat utama penubuhan Program Podium adalah untuk merealisasikan pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain muncul 10 pasukan terbaik pada Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2018. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast