KUALA LUMPUR – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Bersih 2.0 melahirkan rasa gusar dengan pengguguran kes bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng secara tergesa-gesa daripada kes rasuah yang dihadapinya tanpa bicara.
Malah badan pemantau itu turut mendakwa pengguran kes itu seolah-olah mencerminkan ketidaktelusan agensi kerajaan dengan ‘campur tangan’ politik malah situasinya sama seperti kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN).
Bersih 2.0 melalui kenyataan media berkata, rata-rata rakyat melahirkan kebimbangan tentang kes ini terutamanya apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara terbuka mengakui pihaknya tidak tahu menahu tentang pengguguran kes tersebut.
“Sudah tiba masanya, satu keperluan mendesak agar SPRM dijadikan sebuah badan bebas tanpa sebarang campurtangan luar terutama politik.
“Perubahan serta rombakan telus dan bersih ke atas agensi pencegahan rasuah supaya ia bebas daripada pengaruh luar dan tidak menjadi alat politik perlu dilakukan segera bagi meraih kembali kepercayaan rakyat terhadap SPRM.
“Sebenarnya rakyat sudah mula bimbang terhadap kes ini kerana cara ianya dikendalikan seperti kerajaan BN dulu, kebimbangan dan persoalan adakah ada campurtangan luar terutamanya kuasa eksekutif?
“Oleh yang demikian, Bersih 2.0 menggesa agar SPRM di jadikan bebas dengan pelantikan anggota dalam badan itu juga berwibawa dan telus agar keadilan sentiasa dapat dilaksanakan dengan sebetulnya,” katanya lagi.
Badan pemantau itu juga mendesak untuk penubuhan pejabat pendakwa raya awam yang bebas bagi menghapuskan kecurigaan awam terhadap badan itu mempengaruhi keputusan pendakwaan kerana peranannya sebagai penasihat perundangan kerajaan.
“Wujud tuntutan di buat oleh Bersih 2.0 sejak perhimpunan Bersih 4 pada 2015. Walaupun cadangan kita sebenarnya telah di masukan dalam manifesto PH tetapi sehingga kini kita tidak nampak usaha oleh kerajaan baharu dalam melaksanakan perubahan untuk institusi ini.
“Perubahan ini sangat penting jika kerajaan PH mahu menyakinkan rakyat jelata bahawa prinsip dan hala tuju politik mereka sebenarnya jauh lebih baik,” ujarnya.
Guan Eng di dakwa terlibat dalam salahlaku rasuah berkaitan pembelian sebuah banglow di bawah harga pasaran dan urusniaga penjualan tanah di Pulau Pinang di lepaskan dan dibebaskan pada Isnin lepas. – MalaysiaGazette