Othman Mahmood
Othman Mahmood

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyeru kepada semua 62,188 pengundi berdaftar di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Balakong keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada 8 September ini.

Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood turut menasihatkan mereka agar merancang masa dan tidak memilih untuk keluar mengundi di saat akhir walaupun tempoh waktu mengundi dilanjutkan dari jam 8 pagi hingga jam 5.30 petang.

Katanya, pengundi juga perlu membuat semakan maklumat daftar pemilih lebih awal sebelum hari pengundian.

“Semakan awal ini bagi memudahkan mereka merancang perjalanan dan menggelakkan daripada menghadapi masalah kesesakan di pusat mengundi khususnya di barung semakan SPR,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Kata Othman, bagi pengundi yang telah mengetahui maklumat berkenaan tidak perlu lagi menyemaknya di barung SPR, sebaliknya disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.

Menurut beliau, pengundi juga disarankan membawa slip atau catatan maklumat itu serta menunjukkannya kepada petugas di saluran mengundi pada Sabtu ini.

“Slip atau catatan itu akan memudahkan petugas pilihan raya untuk membuat semakan nama dan membantu kelancaran proses pengundian.

“Pengundi juga dinasihatkan membawa kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri yang rasmi dan sah (yang memaparkan maklumat gambar, nama dan nombor kad pengenalan) pada hari mengundi serta tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain, selain petugas pilihan raya,” katanya.

Bagi mengetahui maklumat daftar pemilih tersebut, pengundi boleh membuat semakan melalui saluran seperti portal rasmi SPR di www.spr.gov.my, telefon ke talian 03-88927018, menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 15888 atau menyemaknya melalui aplikasi MySPR Semak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast