KAJANG – Seramai 612 anggota termasuk pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan untuk mengawal perjalanan proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong esok.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan kelancaran sepanjang proses PRK berlangsung.
“Anggota trafik akan memastikan lalu lintas berjalan lancar dan baik, manakala 246 anggota dan pegawai polis ditugaskan di Pusat Daerah Mengundi,” katanya di sini hari ini.
PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee daripada DAP dalam satu kemalangan jalan raya, 20 Julai lalu.
Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, Tien Chee mengalahkan calon MCA, Lim Chin Wah dan calon Pas, Mohamad Ibrahim Ghazali dengan majoriti 35,538 undi. – MalaysiaGazette