Tun Dr Mahathir Mohamad
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (kanan) bercakap pada sidang selepas mempengerusikan Majlis Presiden Pakatan Harapan di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK, 07 SEPTEMBER 2018

PETALING JAYA – Selain kes berprofil tinggi, kes-kes rasuah skala kecil pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini juga tidak terkecuali disiasat dan di bawa ke muka pengadilan.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, langkah itu diambil kerana PH tidak mahu dilihat rakyat hanya tertumpu kepada kes rasuah berskala besar sahaja berbanding kes kecil yang dilakukan pemimpin kerajaan terdahulu.

“Kita (sebelum ini) tumpu kepada kes besar sahaja, tidak memberi perhatian kepada kes-kes kecil dan jelas boleh mendapat komisen kalau dibawa ke mahkamah.

“Keputusan kita sekarang ini bukan sahaja menumpu kepada kes-kes besar yang memerlukan buktii lebih jelas.

“Tetapi juga terhadap kes-kes kecil melibatkan pemimpin-pemimpin lain yang tidak kurang bersalah dalam pentadbiran lama,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Pimpinan PH di bangunan Yayasan Selangor hari ini.

Pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyaksikan PH segera melakukan pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas tiga pertuduhan pecah amanah kes SRC International Sdn dan satu lagi menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta.

Pengerusi PH itu juga berkata, kaji selidik pihaknya terhadap 100 hari pentadbiran Putrajaya menunjukkan wujudnya persepsi bahawa kerajaan tidak mengambil tindakan tegas dan segera terhadap ‘penjenayah’ dalam kerajaan terdahulu.

“Apabila kita cuba membuat sesuatu mengikut undang-undang, ia memerlukan bukti cukup sebelum kita hadapkan sesuatu kes ke mahkamah.

“Ramai terlibat dengan rasuah terdiri daripada pemimpin-pemimpin kerajaan lepas, (rakyat) nampak (PH) tiada tindakan sama sekali diambil terhadap mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette