Mohamad Sabu
Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan meluluskan peruntukan sebanyak RM407,300 bagi membaiki beberapa lif yang rosak di Kuarters Desa Setia Wira, Jalan Padang tembak di sini.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, peruntukan tersebut diluluskan selepas memahami kesukaran dialami penghuni kuarters terbabit yang terpaksa mengangkut air menggunakan tangga ekoran berlaku masalah bekalan air di situ.

“Memahami kesukaran dihadapi oleh anggota ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan keluarga penghuni di situ, saya telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera.

“Kami bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM407,300 bagi menampung kos pembaikan lapan buah lif bagi tahun 2018 manakala, lapan buah lif lagi akan menggunakan peruntukan dasar sedia ada,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, beliau dan kementeriannya akan cuba memastikan kebajikan setiap warga ATM dan Kementerian Pertahanan diutamakan walaupun dalam keadaan kekangan kewangan yang terhad. – MalaysiaGazette