SHAH ALAM – Kejayaan PAS dalam menambah lebih100 peratus undinya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia yang berakhir semalam memberi petanda jelas penerimaan rakyat dalam pembentukan satu blok pembangkang yang bersatu dan kuat.
Kata bekas calon PAS dalam PRK DUN Seri Setia, Dr Halimah Ali, berdasarkan kiraan undi yang dibuat semalam, parti berkenaan telah mendapat kemenangan di tiga Pusat Daerah Mengundi (PDM) di mana dua daripadanya pertama kali berjaya dimenangi.
“Semalam adalah kemenangan moral bagi PAS dan blok pembangkang, PAS berjaya menang buat pertama kali di PDM TTDI Jaya dan Sungai Wei selain berjaya menambah jumlah majoriti undi di PDM PJS5.
“Malah PAS juga menang di undi pos dan undi awal yang melibatkan kakitangan polis dan tentera selain berjaya menambah undi orang muda dan bukan Melayu, ini satu signal daripada pengundi memberitahu mereka matang berpolitik dan tidak takut untuk membuat perubahan” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam PRK berkenaan Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan kerusi DUN itu apabila calonnya, Halimey Abu Bakar berjaya mendapat undi sebanyak 13, 725 undi berbanding Dr Halimah sebanyak 9,698.-BERNAMA
















