Dr. Jacob George

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan berulang kali menyatakan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak menjejaskan golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) mempersoalkan mengapa pengendali kantin-kantin kilang dibenar mengenakan SST kepada para pekerja kilang.

Presiden CASSA, Datuk Dr Jacob George berkata, maklumat itu diperoleh daripada aduan pekerja-pekerja kilang di beberapa negeri.

Hasil siasatan CASSA di beberapa kilang di zon industri Johor dan utara negara mendapati aduan itu betul.

Menurutnya, pengendali-pengendali kantin pula mendakwa mereka mengenaakan SST berdasarkan terma-terma peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Macam mana ni, Menteri kata SST tidak menjejaskan golongan miskin tetapi kalau kantin pekerja kilang dikenakan SST, ia adalah suatu perkara yang perlu dilihat secara serius.

“Pekerja yang berpendapatan rendah dikenakan SST untuk makan dan minum. Ini tidak kena, keadaan yang berlaku tidak seperti jaminan yang diberikan oleh kerajaan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut George, kerajaan boleh mengenakan cukai ke atas kilang-kilang yang beroperasi di negara ini tetapi kantin kilang perlu dikecualikan SST memandangkan pelanggan-pelanggan kantin itu majoritinya pekerja operator kilang.

Lantaran itu, CASSA meminta agensi-agensi kerajaan menyiasat perkara itu supaya pelaksanaan SST ke atas pekerja-pekerja kilang dapat dinilai semula.

“Mereka bukan pekerja eksekutif yang bergaji besar dan kebanyakannya mereka bergantung kepada kerja lebih masa untuk hidup. Jadi apa relevennya mengenakan cukai SST di kantin kilang, apatah lagi kebanyakan pekerja tidak mempunyai pilihan untuk makan di luar.

“Saya harap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melihat aduan CASSA ini dengan serius dan tangani segera,” ujarnya.

Dalam pada itu, George mendakwa, rata-rata pengguna mengadu pelaksaaan SST tidak memberikan sebarang perubahan dalam perbelanjaan mereka.

Sebaliknya, pelaksaan SST tetap menyaksikan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang, termasuk di gerai-gerai makan.

“Sejauh mana kerajaan memantau perkara ini? Kalau benar ia dipantau, siapa pula yang audit pasukan pemantau?

“Saya harap Menteri Kewangan bukan sahaja memberi fokus kepada isu kad tambah nilai prabayar tetapi kenaikan barangan keperluan harian pengguna juga.

“Ada barangan keperluan lain seperti air mineral, syampu yang naik harga selepas SST, kenapa jadi begitu.

“Bukankah golongan kaya dan perniagaan yang sepatutnya dikenakan cukai lebih berbanding rakyat biasa? Kalau kerajaan benar-benar mahu membantu mengurangkan beban rakyat, sepatutnya SST tidak menjejaskan poket rakyat,” tegasnya. – MalaysiaGazette